Husni tak bantah 1MDB dalam mesyuarat Jemaah Menteri, Najib beritahu

Husni tak bantah 1MDB dalam mesyuarat Jemaah Menteri, Najib beritahu

Bekas PM kata tiada minit mesyuarat menunjukkan menteri kewangan II tidak bersetuju dengan kerajaan persekutuan ambil alih TIA.

najib razak
Najib Razak kata setiap anggota Jemaah Menteri diberi agenda yang memaklumkan perkara yang akan dibincangkan dalam mesyuarat mingguan.
KUALA LUMPUR:
Bekas perdana menteri Najib Razak berkata rakan sekerjanya ketika itu, Ahmad Husni Hanadzlah, tidak pernah membangkitkan sebarang bantahan berhubung perkara berkaitan 1MDB semasa berkhidmat sebagai menteri kewangan II.

Pada perbicaraan 1MDB hari ini, Najib berkata tiada minit mesyuarat Jemaah Menteri menunjukkan Husni tidak bersetuju dengan kerajaan persekutuan mengambil alih Terengganu Investment Authority (TIA) pada 2009.

Menurutnya, setiap anggota Jemaah Menteri diberi agenda yang memaklumkan perkara yang akan dibincangkan dalam mesyuarat mingguan.

“Beliau tidak menyuarakan bantahan atau kebimbangan atau mencadangkan supaya pengambilalihan itu dijeda untuk kajian kebolehlaksanaan,” Najib beritahu Mahkamah Tinggi.

Najib tidak ingat sama ada Husni pernah bertemunya secara peribadi, pada 2009, untuk berbincang mengenai menjalankan kajian kebolehlaksanaan 1MDB.

Sebelum ini, Husni beritahu mahkamah bahawa beliau telah memaklumkan tentang risiko penubuhan 1MDB tetapi Najib berkata “Saya akan teruskan (tubuh 1MDB)”.

Namun, Najib beritahu mahkamah bahawa kajian kebolehlaksanaan dalam kes ini memandangkan 1MDB bukanlah syarikat baharu tetapi ‘penjenamaan semula’ TIA semata-mata.

“Menteri Kewangan Diperbadankan (MoF Inc) telah pun memegang saham emas dalam TIA. Kajian kebolehlaksanaan perlu jika MoF Inc tidak memegang sebarang saham khas dalam syarikat itu,” katanya.

Najib dakwa keterangan Husni adalah cubaan untuk menjauhkan diri daripada skandal 1MDB atau “membesar-besarkan penglibatan saya dalam 1MDB”.

Najib menamakan bekas ahli pengurusan 1MDB – bekas CEO Shahrol Azral Ibrahim Halmi, Hazem Abd Rahman, bekas CFO Azmi Tahir, dan bekas penasihat undang-undang Jasmine Loo – sebagai mereka yang harus bertanggungjawab ke atas hal ehwal syarikat.

“Adalah mudah bagi mereka untuk meletakkan kesalahan ke atas saya untuk melindungi diri mereka daripada liabiliti jenayah. Mereka melaksanakan dan mengambil bahagian dalam rancangan Low Taek Jho,” tambahnya.

Ketika ditanya oleh peguamnya, Shafee Abdullah, sama ada beliau pernah dengar istilah “working in silos (bekerja dalam komuniti sendiri)” dan “need-to-know basis (jangan sebar maklumat kepada pihak yang tidak perlu tahu),” Najib menjelaskan ini hanya terpakai dalam konteks kerja kerajaan, kerana beberapa perkara tertakluk pada Akta Rahsia Rasmi.

“Jelas bahawa anda tidak boleh kongsi (semua maklumat) dengan seluruh warga pejabat,” kata Najib.

Bagaimanapun, terma-terma ini tidak terpakai dalam perkara 1MDB, tambahnya.

Shafee membalas Shahrol menggunakan terma-terma ini dalam kenyataan saksi.

Najib menegaskan bahawa keseluruhan kes 1MDB — daripada penyiasatan kepada pertuduhan terhadapnya — adalah cacat kerana pegawai penyiasat tidak pernah bertanya kepadanya soalan-soalan penting.

“Sebagai suspek, apabila anda beri jawapan (kepada pihak berkuasa), mereka perlu siasat dan kemudian memutuskan untuk mendakwa anda. Perbicaraan yang adil berdasarkan penyiasatan yang adil.”

Najib dibicarakan atas 25 pertuduhan salah guna kuasa dan pengubahan wang haram membabitkan dana berjumlah RM2.28 bilion yang dimasukkan ke dalam akaun AmBank miliknya antara Februari 2011 dan Disember 2014.

Pendengaran di hadapan Hakim Collin Lawrence Sequerah diteruskan.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.