
Beliau berkata, fasiliti-fasiliti kesihatan yang terjejas itu terletak di Kelantan, Terengganu dan Kedah.
“Sebanyak 64 fasiliti kesihatan di Kelantan terjejas akibat banjir dan daripada jumlah itu, 30 masih boleh beroperasi manakala 34 lagi terpaksa berpindah.
“Sementara itu di Terengganu, sebanyak 30 fasiliti kesihatan terjejas, iaitu 17 masih beroperasi dan 13 dipindahkan,” katanya pada sidang media di Kementerian Kesihatan (KKM), apabila ditanya sama ada terdapat fasiliti kesihatan terjejas akibat banjir.
Dalam pada itu, Dzulkefly berkata, di Kedah pula, empat fasiliti didapati terjejas.
Menurut data terkini dilaporkan Info Banjir Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), seramai 68,038 mangsa banjir keseluruhan dipindahkan ke pusat-pusat pemindahan sementara (PPS) di ketiga-tiga negeri itu.
Kelantan kekal dengan mangsa paling ramai, iaitu 43,755 orang daripada 13,994 keluarga ditempatkan di 97 PPS, diikuti Terengganu dengan 17,641 orang daripada 4,507 keluarga di 75 PPS, dan Kedah, 6,642 orang daripada 2,114 keluarga di 34 PPS.