Pekebun terjejas banjir terima bayaran tambahan RM400

Pekebun terjejas banjir terima bayaran tambahan RM400

Mereka akan dibayar sebanyak dua kali untuk November dan bulan ini dengan RM200 sebulan.

Timbalan Perdana Menteri Zahid Hamidi dalam sidang media selepas Majlis Perasmian RissMart 24 dan Pelancaran Syiling Jubli emas Risda.
SHAH ALAM:
Kerajaan memperuntukkan lebih RM127 juta bagi membantu pekebun terjejas akibat musim tengkujuh tahun ini.

Timbalan Perdana Menteri, Zahid Hamidi, berkata jumlah itu melibatkan 318,642 pekebun Pihak Berkuasa Kemajuan Pekebun Kecil Perusahaan Getah (Risda), Felda dan Lembaga Industri Getah Sabah (LIGS).

Katanya, pekebun kecil terlibat akan menerima keseluruhan RM400, dibayar dua kali sebanyak RM200 masing-masing untuk November dan bulan ini.

Katanya, peruntukan itu akan disalurkan melalui Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah.

“Mereka akan dibayar sebanyak dua kali untuk November dan Disember dengan RM200 sebulan bagi setiap keluarga.

“Manakala bagi kawasan lain kita akan mendapat perangkaan daripada pegawai Risda daerah untuk dikemukakan ke peringkat negeri,” katanya dalam sidang media selepas Majlis Perasmian RissMart 24 dan Pelancaran Syiling Jubli emas Risda.

Beliau berkata, pembayaran itu sudah diagihkan kepada pekebun terjejas.

Dalam perkembangan sama, Zahid mengingatkan penduduk di Pahang dan Johor yang bakal berdepan musim banjir bersiap siaga dan segera berpindah apabila diarahkan pihak berkuasa.

“Difahamkan keadaan di Kelantan dan Terengganu semakin mereda dan luruan laluan air ini akan ke Pahang dan Johor, susulan itu saya memohon penduduk di kawasan rendah di negeri terlibat harus bersiap siaga,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.