
Menurut portal Info Bencana Jabatan Kebajikan Masyarakat, sebanyak 41,232 keluarga ditempatkan 636 pusat pemindahan sementara (PPS) di Kelantan, Terengganu, Pahang, Negeri Sembilan, Melaka, Johor, Perak, Kedah dan Perlis.
Kelantan masih menjadi negeri paling terjejas dengan 85,763 orang daripada 26,766 keluarga ditempatkan di 251 PPS di sembilan daerah, tetapi jumlah mangsa banjir pagi ini menunjukkan penurunan berbanding 88,742 orang malam tadi.
Terengganu menyusul dengan 37,902 mangsa banjir daripada 10,550 keluarga berlindung di 271 PPS di lapan daerah. Jumlah itu menunjukkan penurunan berbanding 40,604 orang yang dilaporkan malam tadi.
Tetapi, jumlah mangsa banjir di Kedah meningkat kepada 8,454 orang membabitkan 2,608 keluarga di 49 PPS di enam daerah berbanding 7,954 orang malam tadi.
Begitu juga keadaan di Pahang, di mana 25 PPS di tiga daerah menempatkan 1,506 orang daripada 499 keluarga berbanding 1,230 orang malam tadi.
Jumlah mangsa banjir di Negeri Sembilan menunjukkan penurunan dengan 1,103 orang daripada 287 keluarga ditempatkan di lapan PPS di tiga daerah berbanding 1,198 orang malam tadi.
Di Johor, 854 mangsa daripada 233 keluarga berlindung di 18 PPS di dua daerah, manakala 511 mangsa daripada 161 keluarga ditempatkan di sembilan PPS di empat daerah Perak.
Di Perlis, sebuah PPS masih menempatkan 255 orang daripada 70 keluarga, sementara 244 mangsa banjir daripada 58 keluarga berlindung di empat PPS di tiga daerah Melaka.