HSR pemangkin transformasi ekonomi, kata pakar

HSR pemangkin transformasi ekonomi, kata pakar

Wan Agyl Wan Hassan berkata Malaysia berdepan risiko kehilangan potensi besar ekonomi jika HSR dibatal.

Wan Agyl Wan Hassan, pengasas My Mobility Vision, berkata projek kereta api laju membentuk semula ekonomi China dan Perancis. (Gambar Bernama)
PETALING JAYA:
Malaysia akan hilang peluang besar membuka potensi ekonomi jika cadangan projek Kereta Api Berkelajuan Tinggi (HSR) dibatalkan, menurut pemikir pengangkutan.

Projek infrastruktur seperti HSR bukan sahaja berkisar terhadap pulangan segera kewangan hasil daripada kutipan tambang, kata Wan Agyl Wan Hassan, pengasas kumpulan My Mobility Vision.

“Sudut pandangan lebih meluas mendedahkan potensi besar HSR menjadi pemangkin pertumbuhan rentas sektor, menarik pelaburan, dan menyepadukan zon ekonomi utama,” katanya kepada FMT.

Wan Agyl merujuk projek Zon Ekonomi Khas Johor dan Tun Razak Exchange, di mana kesalinghubungan menjadi “tulang belakang kejayaannya”.

“Semua ini menunjukkan bahawa HSR bukan sekadar projek pengangkutan—ia adalah pemangkin transformasi ekonomi,” katanya memberi maklum balas terhadap kenyataan pakar ekonomi, Yeah Kim Leng, penasihat kepada kerajaan.

Yeah berkata, projek HSR berkemungkinan tidak akan dilaksanakan dalam masa terdekat susulan unjurna pertumbuhan ekonomi semasa dan kekangan fiskal.

Yeah, berkhidmat dalam jawatankuasa penasihat dasar kepada perdana menteri, berkata Putrajaya telah menyatakan projek HSR hanya akan diteruskan jika ia dibiayai swasta.

Namun, Wan Agyl berhujah bahawa projek kereta api laju telah membentuk semula ekonomi di China dan Perancis, dengan mengurangkan masa perjalanan dan membawa pertumbuhan koridor ekonomi baharu, meningkatkan pelancongan, dan memupuk integrasi serantau.

Katanya, HSR mempunyai potensi sama. Dianggarkan RM70 bilion kos mampu menjana RM250 bilion pertumbuhan Kadar Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) Malaysia dan mewujudkan lebih 111,000 peluang kerja baharu menjelang 2060.

“Menangguhkan HSR tanpa had adalah satu langkah yang salah. HSR bukan sekadar ujian cita-cita Malaysia — ia adalah asas masa depan negara. Tanpanya, kita berisiko melihat negara lain mendahului sementara kita kekal tidak bergerak.”

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.