Terjatuh dalam air, bayi setahun jadi korban ketiga banjir Kelantan

Terjatuh dalam air, bayi setahun jadi korban ketiga banjir Kelantan

Sebelum ini, dua kematian akibat banjir di Kelantan membabitkan seorang lelaki 35 tahun terkena renjatan elektrik dan seorang lelaki 64 tahun dipercayai lemas di Machang.

Ketua Polis Kelantan Mohd Yusoff Mamat berkata kehilangan mangsa disedari ibunya selepas tersedar daripada tidur dan mendapati anaknya tiada di sisi. (Gambar Bernama)
PASIR MAS:
Seorang bayi lelaki berusia setahun ditemui lemas selepas dipercayai terjatuh dalam air di sebuah rumah di Kampung Cherang Melintang, Tumpat kelmarin.

Ketua Polis Kelantan, Mohd Yusoff Mamat, berkata mangsa bersama ibunya tinggal di tingkat atas rumah dua tingkat yang dinaiki air.

Beliau berkata, kejadian pada 11.30 malam itu hanya disedari ibu mangsa yang mendapati anaknya tiada di sisi dan menemui mangsa terapung di tingkat bawah rumah.

“Ibu mangsa mendapati meja sofa yang digunakan untuk menghadang tangga ke tingkat bawah terusik.

“Ibu mangsa kemudian memanggil suaminya sebelum dibantu jiran untuk membawa keluar anaknya menggunakan perahu ke Jambatan Kubang Panjang, seterusnya ke Hospital Tumpat dan disahkan meninggal dunia,” katanya dalam sidang media di Pusat Kawalan Operasi Bencana di Balai Polis Repek, di sini.

Menurutnya, keluarga mangsa sudah diarah berpindah sebelum ini, namun enggan berbuat demikian.

Bayi itu merupakan korban ketiga banjir di Kelantan, selepas seorang lelaki berusia 35 tahun terkena renjatan elektrik dan seorang lelaki berusia 64 tahun dipercayai lemas di Machang.

Sementara itu, beliau berkata, meskipun ramalan cuaca mengatakan hujan akan reda hari ini atau esok, namun perlu diingatkan air akan turun ke hilir yang akan memberi kesan kepada kawasan Tumpat dan Pasir Mas.

Dalam perkembangan lain, Yusoff berkata, bandar Kota Bharu dinaiki air kira-kira 2m disebabkan Sungai Kelantan di Tambatan D’Raja melimpah sejak 12 tengah malam tadi.

Beliau berkata, polis sedang bersiap sedia memindahkan mangsa banjir jika PPS sedia ada terjejas.

“Limpahan air sungai berlaku kerana air pasang di tempat lain dan bertembung air Sungai Kelantan.”

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.