Maqis Kedah rampas ayam sejuk beku lebih RM200,000

Maqis Kedah rampas ayam sejuk beku lebih RM200,000

Pasukan penguat kuasa mendapati 23,000kg ayam sejuk beku itu mempunyai tarikh luput dan nombor perakuan yang berbeza dengan sijil halal yang diisytiharkan.

maqis
Sebanyak 23,000kg ayam sejuk beku dirampas Jabatan Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia Kedah di laluan kargo Pintu Masuk Bukit Kayu Hitam. (Gambar Maqis)
PETALING JAYA:
Jabatan Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia (Maqis) Kedah merampas 23,000 kg ayam sejuk beku bernilai RM245,640 selepas ia cuba dibawa masuk ke negara ini Selasa lalu.

Pengarah Maqis Kedah, Tuan Hisham Abu Bakar, berkata pemeriksaan rapi oleh pasukan penguat kuasa ke atas ayam sejuk beku berkenaan mendapati ia mempunyai tarikh luput dan nombor perakuan yang berbeza dengan sijil halal yang diisytiharkan.

Katanya, ia adalah pelanggaran serius dan semua barang rampasan kini ditahan untuk siasatan dan tindakan lanjut.

“Kes ini disiasat mengikut Seksyen 13, Akta Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia 2011 (Akta 728).

“Tindakan tegas akan terus diambil untuk memastikan barangan pertanian yang diimport ke negara ini, termasuk tumbuhan, karkas, ikan, dan hasil pertanian, bebas daripada ancaman perosak dan penyakit berbahaya,” katanya dalam kenyataan hari ini, menurut Harian Metro.

Menurutnya lagi, kerjasama antara agensi penguatkuasa adalah kunci bagi memastikan kepatuhan kepada syarat dan peraturan yang ditetapkan untuk melindungi keselamatan serta kesihatan sektor pertanian negara.

“Penguatkuasaan berterusan ini adalah sebahagian daripada usaha Maqisdalam mengekang kemasukan barangan pertanian secara haram yang boleh mengancam ekosistem dan kesejahteraan masyarakat,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.