
Asrul Hadi Abdullah Sani dari firma penasihat strategik ADA Southeast Asia, menegaskan ramai ahli Umno meninggalkan parti itu untuk menyertai Bersatu kerana mahukan sistem berasaskan merit selepas berasa terabai di sebalik sumbangan yang telah diberikan.
“Jika Bersatu terus mengutamakan hierarki berbanding prestasi, pemimpin muda akan tawar hati untuk menyertai atau terus berada dalam parti,” katanya kepada FMT.
Asrul berkata Bersatu tidak boleh bergantung kepada undi protes dan mesti mengukuhkan untuk membina asas sokongannya dengan idea baharu dan pemimpin baharu.
“Ini akan menjadi sukar jika parti itu menamakan pemimpinnya berdasarkan nepotisme dan bukan berdasarkan merit,” katanya.
Dalam temu bual dengan FMT, Presiden Bersatu Muhyiddin Yassin mengesahkan Adun Tambun Tulang Wan Zikri Afthar Ishak digugurkan daripada exco Perlis kerana hierarki parti, dan bukannya prestasi.
Muhyiddin berkata Wan Zikri dan Adun Pauh Megat Hashirat Hassan tidak dilantik semula sebagai exco bagi penggal 2024-2025 bukan kerana gagal menjalankan tugas, tetapi kerana jawatan dalam parti.
Azmi Hassan dari Majlis Profesor Negara berkata, Muhyddin membuat langkah yang betul, kerana pelantikan exco lazimnya berdasarkan kuota dan hierarki parti berbanding prestasi.
Bagaimanapun, katanya, jika dalam kes luar biasa yang menunjukkan prestasi sangat baik, ia harus membawa kepada penilaian semula dalam pendekatan itu.
“Walaupun hierarki adalah perkara biasa, rakyat Perlis harus menyuarakan kebimbangan mereka bahawa jika Adun tertentu menunjukkan prestasi yang sangat baik, maka tidak ada sebab, walaupun mengikut hierarki parti, orang lain perlu dilantik,” katanya.