Mahkamah tolak rayuan wanita untuk kewarganegaraan bagi anak

Mahkamah tolak rayuan wanita untuk kewarganegaraan bagi anak

Hakim Azizah Nawawi berpendapat syarat kewarganegaraan tidak dipenuhi ekoran keraguan mengenai bapa kanak-kanak itu.

Court of Appeal
Seorang wanita warga Indonesia memohon mahkamah mengisytiharkan anaknya warganegara Malaysia melalui kuat kuasa undang-undang.
PUTRAJAYA:
Mahkamah Rayuan menolak rayuan seorang wanita warga Indonesia yang memohon kewarganegaraan untuk anak lelakinya yang masih remaja.

Wanita itu berkahwin dengan lelaki tempatan pada 2000 dan mempunyai dua anak lelaki. Remaja itu dilahirkan pada 2010 dan abangnya pada 2004.

Remaja itu memohon MyKad apabila mencecah usia 12 tahun, namun kesnya disiasat atas alasan ‘dia tidak memiliki persamaan fizikal’ dengan lelaki tempatan itu.

Semasa siasatan, lelaki tempatan berkenaan memberitahu pegawai Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) bahawa remaja itu bukan anak kandungnya. Dia juga berkata tidak perlu menjalankan ujian DNA.

Siasatan kes ini masih berjalan.

Wanita warga Indonesia itu kemudian memulakan tuntutan mahkamah bagi mendapatkan pengisytiharan bahawa remaja itu warganegara Malaysia melalui kuat kuasa undang-undang, serta perintah memaksa JPN mengeluarkan MyKad untuknya.

Hakim Azizah Nawawi menolak rayuan itu, kerana syarat kewarganegaraan tidak dipenuhi ekoran keraguan mengenai bapa remaja itu.

“Si ibu gagal membuktikan anaknya adalah warganegara menurut Perkara 14(1)(b) Perlembagaan yang dibaca bersama Seksyen 1(a) Jadual Kedua,” katanya merujuk kepada peruntukan mengenai kewarganegaraan .

Undang-undang menghendaki sama ada ibu atau bapa kanak-kanak itu adalah warga Malaysia atau pemastautin tetap, untuk melayakkan kanak-kanak itu mendapat kewarganegaraan.

Azizah bersidang bersama Hakim Nazlan Ghazali dan Azhahari Kamal Ramli. Mahkamah tidak buat sebarang perintah mengenai kos.

Wanita warga Indonesia itu diwakili peguam, A Srimurugan dan J Gunamalar, manakala Peguam Kanan Persekutuan Liew Horng Bing mewakili JPN.

Srimurugan berkata mereka akan mendapatkan kebenaran untuk merayu keputusan ini di Mahkamah Persekutuan.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.