Johor beri rebat 30% cukai harta babit 10 PBT

Johor beri rebat 30% cukai harta babit 10 PBT

Pengerusi Perumahan dan Kerajaan Tempatan negeri Mohd Jafni Md Shukor berkata ia akan bermula 1 Jan depan.

Jafni
Pengerusi Perumahan dan Kerajaan Tempatan negeri, Mohd Jafni Md Shukor, berkata 10 PBT sedang dalam proses penyemakan semula kadar cukai.  (Gambar Bernama)
JOHOR BAHRU:
Pemberian rebat 30% daripada nilai penyelarasan baharu cukai harta melibatkan 10 pihak berkuasa tempatan (PBT) di Johor akan bermula 1 Jan tahun hadapan.

Pengerusi Perumahan dan Kerajaan Tempatan negeri, Mohd Jafni Md Shukor, berkata 10 PBT yang sedang dalam proses penyemakan semula kadar cukai adalah Majlis Perbandaran Batu Pahat (MPBP), Majlis Perbandaran Muar (MPM), Majlis Perbandaran Segamat (MPS) dan Majlis Perbandaran Pontian (MPPn).

Turut terlibat ialah Majlis Daerah Kota Tinggi (MDKT), Majlis Daerah Tangkak (MDT), Majlis Daerah Yong Peng (MDYP), Majlis Daerah Simpang Renggam (MDSR), Majlis Daerah Mersing (MDM) dan Majlis Daerah Labis (MDL).

“Keputusan itu dibuat memandangkan penilaian terakhir dilaksanakan pada 2013, kemudian ditangguhkan susulan pandemik Covid- 19 yang melanda pada 2020.

“Jadi sebagai kerajaan yang sentiasa mendengar keluhan rakyat, Datuk Onn Hafiz bersetuju untuk 10 PBT yang terlibat dengan penyemakan semula cukai ini diberikan rebat 30% daripada nilai penyelarasan cukai baharu 2025.

“Ini sebagaimana telah dilaksanakan oleh lima PBT lain tahun lepas. Rebat adalah untuk tempoh setahun sahaja dan untuk 2025 juga adalah bagi tempoh setahun,” katanya kepada pemberita selepas perasmian Mesyuarat Agung Kelab Media Johor semalam.

Sebelum ini, kerajaan negeri telah memberikan rebat 30% ke atas cukai harta melibatkan lima PBT yang terlibat kenaikan cukai tahun ini.

Beliau berkata lima PBT berkenaan ialah Majlis Bandaraya Johor Bahru (MBJB), Majlis Bandaraya Iskandar Puteri (MBIP), Majlis Bandaraya Pasir Gudang (MBPG), Majlis Perbandaran Kluang (MPK) serta Majlis Perbandaran Pengerang (MPP).

Jafni berkata jumlah keseluruhan peningkatan cukai di 10 PBT yang terlibat adalah sebanyak RM36.91 juta dan purata kenaikan di bawah 18% berbanding 2013 atau secara puratanya 2.6% setahun.

“Saya juga ingin berkongsi bahawa hingga Selasa lepas (26 Nov), daripada jumlah keseluruhan pegangan 372,779 unit di 10 PBT terlibat, hanya 4,660 atau 1.25% sahaja.

“Berbanding dengan pelaksanaan penyemakan cukai membabitkan lima PBT tahun lepas, jumlah yang membantah adalah sebanyak 20,018 bersamaan 2.48% daripada keseluruhan jumlah pegangan 807,262,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.