
Peguam yang mewakilinya, Asyraaf Abu Bakar Hamzah memberitahu mahkamah beliau menerima arahan daripada anak guamnya untuk menarik balik permohonan pelaksanaan dan hukuman yang difailkan di mahkamah sama pada 6 Jun lalu.
“Kami mendapat arahan daripada anak guam untuk menarik balik permohonan dan akan memfokuskan kes di Mahkamah Rayuan, kelak,” katanya pada sebutan kes di hadapan Hakim Azhar Abdul Hamid.
Azhar kemudian membenarkan permohonan Bainun yang dikecualikan kehadiran hari ini.
Pada 2 Mei lepas, Mahkamah Tinggi mengekalkan sabitan dan hukuman penjara 12 tahun terhadap Bainun selepas menolak rayuannya untuk mengetepikan sabitan dan hukuman diputuskan oleh Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur pada Mei 2023.
Pada 3 Mei 2023, Hakim Mahkamah Sesyen Izralizam Sanusi menjatuhkan hukuman penjara 12 tahun terhadap Bainun selepas didapati bersalah atas dua pertuduhan mengabai dan menganiaya Bella, 13, dan memerintahkan wanita itu menjalani hukuman penjara serta-merta, selepas menolak permohonannya untuk menangguhkan hukuman. Bainun kemudian dihantar ke Penjara Kajang.
Mahkamah turut memerintahkannya menandatangani bon berkelakuan baik selama lima tahun dengan seorang penjamin berserta cagaran RM5,000 serta melaksanakan khidmat masyarakat selama 200 jam yang perlu disempurnakan dalam tempoh enam bulan selepas tamat hukuman penjara.
Bainun didakwa mengabai dan menganiaya mangsa sehingga mengakibatkan remaja perempuan sindrom Down itu mengalami kecederaan fizikal serta emosi di sebuah unit kondominium di Wangsa Maju, antara Februari hingga Jun 2021.
Kedua-dua pertuduhan itu dibuat mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-kanak yang boleh membawa hukuman maksimum penjara 20 tahun atau denda RM50,000 atau kedua-duanya.