Mahkamah pulangkan pasport balu Daim sementara tunggu keputusan kes

Mahkamah pulangkan pasport balu Daim sementara tunggu keputusan kes

Mahkamah Rayuan berkata hakim Mahkamah Sesyen terkhilaf dari segi undang-undang apabila mengarahkan Naimah Khalid menyerahkan pasportnya tanpa memberi sebarang alasan.

naimah khalid
Mahkamah Rayuan sebulat suara mengembalikan pasport Naimah Khalid, balu Daim Zainuddin secara kekal sementara menunggu keputusan perbicaraannya. (Gambar Bernama)
PUTRAJAYA:
Mahkamah Rayuan sebulat suara membenarkan balu Daim Zainuddin mendapatkan pasportnya secara kekal sementara menunggu keputusan perbicaraan atas dakwaan gagal mematuhi syarat notis pengisytiharan aset.

Hakim Azizah Nawawi yang mengetuai panel tiga hakim berkata, hakim Mahkamah Sesyen terkhilaf dari segi undang-undang apabila mengarahkan Naimah Khalid menyerahkan pasportnya awal tahun ini.

“Tiada alasan sah diberikan atas perintah itu,” katanya yang bersidang bersama Hakim Azman Abdullah dan Azmi Ariffin.

Beliau turut mengetepikan keputusan Mahkamah Tinggi yang mengesahkan keputusan Mahkamah Sesyen pada 23 Jan lalu.

Menurutnya, tiada bukti sokongan atau penjelasan untuk mewajarkan Naimah menyerahkan pasportnya kepada mahkamah.

“Tindakan pihak pendakwaan bergantung kepada amalan mengenakan syarat tambahan bertentangan rasional keputusan mahkamah tertinggi bahawa sebarang syarat mestilah adil, munasabah dan ada kaitan langsung untuk memastikan tertuduh menghadiri prosiding mahkamah.”

Naimah mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen atas pertuduhan gagal mematuhi notis pengisytiharan aset mengikut Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

Dia didakwa gagal mengisytiharkan pemilikan syarikat, beberapa bidang tanah di sini dan Pulau Pinang serta dua kenderaan pada 13 Dis 2023.

Jika sabit kesalahan, Naimah boleh dipenjara sehingga lima tahun dan denda tidak lebih RM100,000.

Naimah sebelum ini dibenarkan diikat jamin RM250,000 dengan seorang penjamin dan menyerahkan pasportnya kepada mahkamah sebagai sebahagian syarat jaminan.

Permohonannya untuk menyemak semula keputusan Mahkamah Sesyen ditolak Mahkamah Tinggi yang bersetuju dengan pihak pendakwaan bahawa tiada jaminan beliau tidak akan mengelak hadir di mahkamah.

Terdahulu, peguam Gurdial Singh Nijar hari ini berhujah syarat tambahan itu tidak perlu kerana jumlah ikat jamin ditetapkan tinggi.

Menurutnya, pihak pendakwaan sebagai penjaga kepentingan awam sepatutnya memberi alasan kukuh untuk menahan pasport anak guamnya.

“Denda maksimum bagi kesalahan itu ialah RM100,000, manakala ikat jamin ditetapkan RM250,000.”

Beliau berkata, sebarang syarat dikenakan perlu setara tuduhan dihadapi tertuduh demi keadilan.

“Anak guam saya perlukan pasport kerana perlu berada di luar negara sebagai sebahagian pekerjaannya,” katanya sambil menambah hakim Mahkamah Sesyen dikehendaki memberi alasan untuk menambah syarat ikat jamin.

Menurutnya, Naimah memulangkan pasportnya kepada mahkamah sebanyak empat kali selepas mendapat pelepasan sementara dan pulang dari luar negara.

Timbalan Pendakwa Raya, Wan Shaharuddin Wan Ladin berhujah Naimah ditawarkan ikat jamin dengan syarat tambahan dan peguamnya tidak membuat bantahan ketika itu.

“Menyita pasport sentiasa jadi alasan untuk tawaran ikat jamin kepada tertuduh. Dalam kes ini, perayu juga berisiko tidak menghadiri prosiding mahkamah,” katanya sambil menambah pihak pendakwaan terfikir memohon jaminan RM500,000, tetapi dikurangkan separuh selepas Naimah bersetuju menyerahkan pasportnya kepada mahkamah.

Daim, 86, meninggal dunia 13 Nov lalu di Hospital Assunta, Petaling Jaya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.