
Ahli Parlimen Petaling Jaya Lee Chean Chung, berkata pihaknya dimaklumkan berhubung perkara itu dalam sesi taklimat Jawatankuasa Pilihan Khas Infrastruktur, Pengangkutan, dan Komunikasi, hari ini.
Katanya, dalam sesi itu, mereka dimaklumkan Jemaah Menteri pada 8 Mei bersetuju agar pemaju, PJD Link (M) Sdn Bhd, diberin kelonggaran mengemukakan cadangan balas bagi jajaran baharu.
“Terkini, cadangan jajaran baharu itu telah mendapat kelulusan agensi-agensi persekutuan, bola sekarang berada di bawah kerajaan negeri Selangor untuk memutuskan bahawa projek ini akan dilaksanakan atau tidak,” katanya pada sidang media di bangunan Parlimen.
Lee berkata, menjelang PRN tahun lalu, pimpinan Selangor telah berjanji memastikan projek terbabit tidak dilaksanakan.
“Sebarang cubaan untuk mendapatkan kelulusan, melalui pindaan runcitan (minor amendments) adalah satu penghinaan kepada pembuat dasar dan rakyat,” katanya.
Beliau berkata, inilah masa peluang terbaik kepada kerajaan Selangor menunaikan janjinya, mengambil kira pembatalan projek berkenaan tidak melibatkan kos, sepertimana dalam perjanjian dengan PJD Link.
Sebelum ini, Adun Taman Medan Dr Afif Bahardin, mendakwa pembatalan projek itu melibatkan bayaran pampasan RM100 juta, jumlah yang dipetiknya daripada laporan berita.
Pada April 17, jurucakap kerajaan perpaduan Fahmi Fadzil, berkata Putrajaya memutuskan membatal projek tersebut selepas pihak konsesi gagal menepati enam daripada 11 syarat ditetapkan kerajaan.
Susulan pengumuman kerajaan tidak berhasrat meneruskan projek berkenaan, pemaju berkata, pihaknya mempertimbangkan permintaan untuk menyemak semula jajaran lebuh raya terbabit.
Ahli Parlimen Subang Wong Chen, berkata beliau mengharapkan ketelusan lebih besar berkait projek itu, terutama kos pengambilan tanah dan unjuran pendapatan daripada 48 tahun konsesi.
“Semua itu penting supaya rakyat boleh faham apakah kos sebenar kepada pengguna, dan apakah kos pembinaan ini. Terpulang kepada kerajaan untuk memberi balasan dan perkiraan dia,” katanya.
Tahun lalu, Menteri Besar Selangor Amirudin Shari, berkata kerajaan negeri membuat keputusan membatalkann projek PJD Link selepas pemaju menghantar laporan penilaian impak, terutama laporan penilaian impak sosial, yang didapati tidak memuaskan dan tidak menepati syarat tertentu ditetapkan kerajaan negeri.