
Apabila ditanya adakah undang-undang seperti itu bertentangan dengan kebebasan berhimpun atau berpersatuan, beliau berkata ‘tiada kebebasan yang mutlak’.
“Kebebasan dalam apa jua yang anda lakukan adalah terhad. Tiada kebebasan mutlak.
“Jika anda mahu menggunakan kebebasan, ia mesti memberi hasil yang baik. Apabila anda mendapati kebebasan merosakkan masyarakat, anda perlu berfikir tentang had kebebasan,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas menyampaikan ucaptama di Ekspo Kesejahteraan Antarabangsa 2024 di Pusat Perdagangan dan Pameran Antarabangsa Malaysia.
Semalam, Mahathir berkata sistem dua parti dapat mengelak ketidakstabilan politik berulang pada PRU lalu yang membawa kepada Parlimen tergantung.
Katanya, landskap politik semasa yang dibentuk oleh parti berpecah-pecah dan kumpulan serpihan, melemahkan kemampuan mana-mana parti tunggal untuk membentuk kerajaan stabil.
Menurutnya, PRU15 menyaksikan tiada satu parti berkemampuan mendapat mandat jelas daripada pengundi dan mencadangkan Malaysia mengambil inspirasi daripada negara seperti UK dan AS yang mempunyai dua parti politik dominan.