Diiktiraf halal, nikmati hidangan di Dolly Dim Sum tanpa ragu-ragu

Diiktiraf halal, nikmati hidangan di Dolly Dim Sum tanpa ragu-ragu

Cawangan Dolly Dim Sum telah mendapat Sijil Pengesahan Halal Malaysia Jakim yang membuktikan komitmennya menyediakan hidangan kepada semua lapisan masyarakat.

Dolly Dim Sum mendapat Sijil Pengesahan Halal Malaysia daripada Jabatan Kemajuan Islam.
PETALING JAYA:
Pencinta makanan kini boleh menikmati juadah tanpa rasa ragu-ragu apabila berkunjung ke cawangan restoran popular Dolly Dim Sum yang telah mendapat Sijil Pengesahan Halal Malaysia (SPHM) dari Jabatan Kemajuan Islam (Jakim), baru-baru ini.

Ia sekali gus menambah pilihan kepada pengguna yang menggemari hidangan makanan Cina yang mana premis itu menawarkan pengalaman menjamu selera dalam suasana selesa bersama keluarga dan rakan.

Kejayaan Dolly Dim Sum itu menyusul pengiktirafan sama diterima jenama kopi tempatan Gigi Coffee bulan lalu, selain ‘Sambal Nyet Berapi’ dan ‘Dendeng Nyet Berapi’ keluaran pempengaruh media sosial Khairul Aming pada 20 Nov lalu.

Orang ramai tidak perlu ragu-ragu menjamu selera di Dolly Dim Sum.

Eksekutif halal bagi Dolly Dim Sum Mohd Hanif Salleh berkata pencapaian itu mencerminkan komitmen syarikat itu menyediakan makanan berkualiti serta pengalaman menjamu selera luar biasa kepada semua pelanggan termasuk dalam aspek halal.

“Di Dolly Dim Sum kami sentiasa berusaha untuk mencapai yang terbaik di samping menghormati bangsa serta budaya unik dan pelbagai di Malaysia,” katanya dalam kenyataan sambil memberi jaminan produk restoran itu sentiasa menepati piawaian Jakim dan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).

Dolly Dim Sum mempunyai 13 cawangan iaitu 11 di sekitar Lembah Klang manakala masing-masing satu di Johor Bahru, Johor dan Kuantan, Pahang.

Selain pelbagai jenis dim sum yang menjadi ‘signature’, restoran itu juga terkenal dengan hidangan menyelerakan seperti egg custard bun, siew mai dumpling, har gao dumpling, royal golden fried rice dan crispy egg noodles.

Inisiatif Dolly Dim Sum dan beberapa pengusaha baharu mendapat sijil itu membuktikan komitmen mereka menyajikan hidangan berkualiti sekali gus menyatukan masyarakat melalui makanan serta minuman boleh dinikmati pelbagai lapisan masyarakat.

Komitmen itu diterjemah menerusi peningkatan jumlah pemegang SPHM kini berjumlah lebih 85,893 syarikat, berdasarkan statistik dikongsi Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Mohd Na’im Mokhtar di Dewan Rakyat pada 29 Okt lalu.

Menurutnya, peningkatan ini menunjukkan pensijilan halal Malaysia dapat diterima baik oleh pihak industri dan pengguna di negara ini termasuk Dolly Dim Sum.

Ini seiring hasrat premis itu mahu menyediakan hidangan yang boleh dinikmati semua lapisan masyarakat tanpa rasa ragu-ragu dan was-was.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.