
Zairil Khir Johari kata kenyataan Adun Air Putih itu jelas ditujukan kepadanya, dan menyifatkan dakwaan itu tidak benar, tidak adil, dan serangan peribadi terhadap reputasinya.
“Saya menolak dakwaan ini dengan sekeras-kerasnya,” tegas Zairil di DUN Pulau Pinang.
“Saya bukan seorang yang akan teragak-agak untuk mengambil tindakan sekiranya berlaku kesalahan oleh mana-mana pegawai” katanya, dan menambah beliau pernah minta tindakan terhadap pegawai dan jurutera apabila ada aduan berasas.
Zairil, yang memegang portfolio hal ehwal infrastruktur, pengangkutan dan digital, menjawab perkara yang dibangkitkan berkaitan portfolionya ketika membahaskan Belanjawan Negeri 2025.
Lim bulan lalu mempersoalkan mengapa dana yang diperuntukkan untuk penyelenggaraan jalan di kawasannya iaitu Parlimen Bagan digunakan di kawasan pembangkang yang berjiran.
Ketika perbahasan belanjawan negeri semalam, Lim mendakwa terdapat ahli pentadbiran menganggap perkara itu selesai begitu sahaja.
“Ahli pentadbiran juga tidak harus menutup pelanggaran arahan dasar oleh pegawai kerajaan.
“Adalah dikesali ahli pentadbiran yang juga wakil rakyat menganggap perkara ini selesai begitu sahaja semata-mata kerana ehsan pihak kerajaan persekutuan mencari tambahan RM 1.4 juta untuk dikembalikan tanpa tindakan yang sewajarnya ke atas peralihan wang peruntukan tanpa restu pembuat dasar ke kawasan lain,” kata Lim.
Zairil sebelum ini berkata peruntukan RM5.6 juta adalah untuk menaik taraf jalan utama yang merentangi kedua-dua kawasan.
Daripada jumlah itu, RM4.2 juta dibelanjakan di Bagan manakala bakinya di Tasek Gelugor. Kedua-dua kawasan itu dihubungkan oleh jalan yang sama.
Wan Saiful Wan Jan dari Bersatu merupakan wakil rakyat Tasek Gelugor.
Zairul kemudian berkata RM1.4 juta yang didakwa ‘dirampas’ telah dipulangkan kepada Parlimen Bagan.
Hari ini, exco itu memaklumkan bahawa keputusan untuk melakukan kerja naik taraf jalan di kawasan berjiran dibuat oleh Kementerian Kerja Raya, bagi memastikan keseluruhan jalan berkenaan dinaik taraf.
“Dalam kes ini, tiada kesalahan dilakukan oleh pegawai JKR, dan tidak adil membuat tuduhan tidak berasas terhadap pentadbiran negeri atau kakitangan mereka,” katanya.