
Wan Agyl Wan Hassan, pengasas badan pemikir MY Mobility Vision, berkata bukti global menunjukkan bahawa membina lebih banyak jalan sering menarik lebih banyak kereta, corak dikenali sebagai permintaan yang terhasil.

“Setiap lorong baharu menarik lebih banyak trafik. Tanpa langkah mengurus permintaan, seperti pengangkutan awam yang lebih baik, kawalan tempat letak kereta atau harga pada waktu puncak, kesesakan akan kembali dalam bentuk lain,” katanya kepada FMT.
Kenyatannya susulan tindakan Exco Pengangkutan Pulau Pinang Zairil Khir Johari yang mempertahankan rancangan negeri untuk projek infrastruktur besar seperti LRT, jejambat dan laluan bawah tanah.

Zairil menolak cadangan laluan bas khusus kerana tidak realistik, dengan berkata Pulau Pinang kekurangan ruang. “Mudah untuk cakap mari tambah bas, tetapi melainkan bas-bas itu boleh terbang, ia juga perlu gunakan jalan yang sama,” katanya kepada FMT.
Bagaimanapun, Wan Agyl berkata kenyataan sedemikian mengabaikan penyelesaian yang terbukti.
“Bas mungkin tidak terbang, tetapi ia boleh meluncur. Jika diberi laluan yang betul, keutamaan isyarat dan penguatkuasaan. Bandar seperti Bogota dan Seoul telah menunjukkan bahawa bas boleh menjadi sepantas dan sehebat kereta api apabila direka dengan baik,” katanya.
Beliau menyokong LRT sebagai penyelesaian jangka panjang tetapi berkata ia akan mengambil masa bertahun-tahun untuk disiapkan. “Kita memerlukan keseimbangan, iaitu penyelesaian 50 tahun melalui rel seiring dengan penyelesaian 5 tahun seperti bas, feri, dan pengurusan trafik yang lebih baik.”

Ahli akademik pengangkutan, Farhan Sadullah, juga berkata projek jalan raya seperti jejambat hanya membantu secara sementara. “Infrastruktur diperlukan, tetapi bukan dengan sendirinya. Tanpa perancangan pengangkutan yang bersepadu, mampan dan kawalan permintaan, bandar ini tidak akan terlepas daripada masalah kesesakan,” katanya kepada FMT.
Beliau berkata membina lebih banyak jalan raya tanpa mengubah tabiat pengguna harian mewujudkan ‘lingkaran ganas’, dengan setiap jalan baharu segera dipenuhi lebih banyak kereta sehingga sistem kembali kepada kesesakan.
Farhan, yang juga naib canselor Universiti Putra Malaysia, bersetuju bahawa lorong bas memerlukan perancangan rapi bagi mengelak kesesakan lebih teruk, tetapi berkata bas, kereta api dan jalan raya mesti berfungsi bersama.
Beliau berkata bahawa pelan LRT Pulau Pinang mesti berdasarkan pemodelan yang jelas dan anggaran kos untuk mengelak daripada dibina berlebihan atau kurang digunakan.
Awal minggu lalu, Zairil berkata kerajaan Pulau Pinang hanya berminat dengan projek yang meningkatkan pergerakan, bukannya prestij. Beliau menolak pengkritik seperti bekas ahli ekonomi Lim Mah Hui, yang berkata pemotongan bajet projek LRT boleh menjadikan ia ‘gajah putih’
Zairil berkata Pelan Induk Pengangkutan Pulau Pinang (PTMP) yang sedia ada berasaskan Pelan Halcrow 2013, tetapi lebih praktikal dan terperinci.
Ketua Menteri Chow Kon Yeow sebelum ini memberi amaran bahawa kesesakan Pulau Pinang boleh menjejaskan pelancongan, keyakinan pelabur, malah menjejaskan sokongan politik kerajaan.
Beliau memohon pembiayaan persekutuan untuk skim yang lebih kecil seperti jalan bawah tanah Mount Erskine manakala projek utama seperti LRT dan lebuh raya bertingkat Juru-Sungai Dua dibina.
Wan Agyl, sebagai respons kepada Chow, berkata pengkritik tidak menentang kemajuan. “Risiko sebenar bukan terletak pada perdebatan awam, tetapi kegagalan mengambil tindakan yang boleh dilihat sekarang sementara menunggu projek besar selesai,” katanya.