
Dalam kenyataan, ATM memaklumkan kes itu sedang disiasat dengan terperinci oleh Cawangan Provos Marsyal Tentera Udara.
“Angkatan Tentera Malaysia menegaskan bahawa siasatan akan dilaksanakan dengan terperinci dan tidak akan melindungi atau berkompromi terhadap mana-mana pihak yang terlibat di dalam kes tersebut.
“Tindakan undang-undang akan dikenakan kepada pihak yang terlibat jika terbukti bersalah,” katanya.
ATM turut meminta masyarakat tidak membuat spekulasi dan memberi ruang untuk siasatan dijalankan.
Katanya, segala perkembangan siasatan akan dimaklumkan kepada umum dari semasa ke semasa.
Terdahulu, media melaporkan seorang pelatih Palapes di sebuah universiti tempatan, Muhammad Amir Rusyaidi Muhammad Zaidi, meninggal dunia pada 13 Nov lalu selepas didakwa menjalani sesi latihan jerih dan tidak berjadual.
Bapanya mendakwa, Amir Rusyaidi mengalami pelbagai penderaan termasuk dipijak dadanya dan ditunggang oleh jurulatihnya.
Katanya, pelatih itu dibiarkan dalam keadaan tidak sedarkan diri di tengah padang dalam cuaca terik selama lebih kurang 30 minit sebelum dibantu oleh rakan.