Ahli Parlimen pertikai tiada rundingan arahan waktu kerja tambahan jururawat

Ahli Parlimen pertikai tiada rundingan arahan waktu kerja tambahan jururawat

Ahli Parlimen Temerloh Salamiah Nor berkata perkara itu sepatutnya dikaji secara menyeluruh sebelum arahan baharu dikeluarkan.

wad hospital
Arahan baharu bawah Sistem Saraan Perkhidmatan Awam mewajibkan jururawat bekerja 45 jam seminggu berkuat kuasa 1 Dis ini berbanding 42 jam ketika ini.
KUALA LUMPUR:
Seorang Ahli Parlimen pembangkang membidas Kementerian Kesihatan (KKM) mengeluarkan arahan mewajibkan jururawat wad bekerja tambahan tiga jam seminggu tanpa rundingan dengan golongan itu terlebih dahulu.

Ahli Parlimen Temerloh, Salamiah Nor mengulas kenyataan Menteri Kesihatan, Dzulkefly Ahmad semalam bahawa beliau akan mengkaji semula dapatan tinjauan dan cadangan lima persatuan jururawat berhubung lanjutan waktu bekerja itu.

Salamiah Nor
Salamiah Nor.

“Yang hairannya, kita lihat apabila arahan sudah keluar, barulah kita lihat KKM nak memperhalusi, nak mempertimbangkan. Sepatutnya perkara ini sudah pun diperhalusi dan barulah dibuat arahan,” katanya pada sidang media di Parlimen.

Arahan baharu bawah Sistem Saraan Perkhidmatan Awam (SSPA) itu mewajibkan jururawat wad bekerja 45 jam seminggu berkuat kuasa 1 Dis ini berbanding 42 jam ketika ini.

Isnin lalu, persatuan jururawat meminta arahan itu ditangguhkan kerana kekurangan tenaga kerja dan peningkatan risiko tekanan kerja dan kelesuan.

Kumpulan itu berkata, mereka menjalankan tinjauan untuk mengumpul pendapat jururawat mengenai perkara terbabit dengan keputusan berkenaan akan disusun menjadi memorandum untuk diserahkan kepada pihak berkuasa bersama rancangan pertemuan dengan kepimpinan tertinggi KKM.

Berita Harian melaporkan Dzulkefly dijangka menemui kumpulan itu esok untuk membincangkan perkara terbabit.

Minggu lalu, Dzulkefly memberi jaminan kebajikan petugas perlu bekerja tambahan tiga jam lebih terjaga kerana mereka akan diberikan syif lebih fleksibel.

Menurutnya, jururawat biasanya bekerja empat hingga enam hari seminggu dengan syif tidak lebih 12 jam. Mereka juga diberikan waktu rehat sejam serta rehat sehari hingga tiga hari seminggu.

Salamiah menyokong gesaan kumpulan itu supaya pelaksanaan arahan baharu itu ditangguhkan kerana 1 Dis semakin hampir.

“Kita lihat rayuan dan juga cadangan daripada persatuan jururawat memang sebahagiannya tidak setuju dengan arahan baharu ini.”

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.