
Hakim Duncan Sikodol membuat keputusan itu selepas mendapati pihak pendakwaan berjaya membuktikan kes melampaui keraguan munasabah terhadap Rizal Ramli, 36, dan Mohd Hairul Kaz Oto, 37, di akhir kes pembelaan.
Beliau berkata, kenyataan dua tertuduh saling bercanggah dan lebih kepada saling menyalahkan satu sama lain, selain terdapat rekaan serta bersifat penafian semata-mata.
“Tertuduh menafikan mempunyai pengetahuan mengenai dadah itu, tetapi semasa tangkapan, kedua-duanya berada dalam kereta di kawasan terpencil dan gelap, dengan kebanyakan kedai dan premis sudah ditutup, menunjukkan adanya pengetahuan mengenai kesalahan yang mereka lakukan,” katanya menurut Harian Metro.
Dua lelaki itu didakwa bersama memiliki syabu itu di kawasan dekat sebuah hotel di Lorong Abaca 1, dekat Tawau pada 12.30 pagi 21 Mac 2023.
Mereka didakwa mengikut Seksyen 39B (1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952, yang boleh dihukum bawah Seksyen 39B(2) akta sama dan dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan.
Seksyen itu memperuntukkan hukuman mati atau penjara seumur hidup dan tidak kurang 15 sebatan, jika tidak dijatuhkan hukuman mati.
Timbalan Pendakwa Raya, Nur Nisla Abd Latif memohon mahkamah menjatuhkan hukuman berat kerana kedua-duanya anggota keselamatan dan kes itu mencemarkan nama baik serta reputasi perkhidmatan mereka.
Beliau berkata, vest polis dan pistol turut ditemui ketika mereka ditahan.
Rizal berkhidmat sebagai anggota tentera selama 18 tahun, manakala Hairul merupakan anggota polis selama 16 tahun.
Peguam Jhesenny P Kang yang mewakili Rizal serta Kamarudin Mohmad Chinki dan Ram Singh mewakili Hairul memohon hakim tidak menjatuhkan hukuman penjara seumur hidup kerana ia kesalahan pertama dua tertuduh, selain mereka sudah insaf dan menyesal.