Polis kesan sekumpulan lelaki samun barang kemas lebih RM1.5 juta

Polis kesan sekumpulan lelaki samun barang kemas lebih RM1.5 juta

Dua mangsa lelaki disamun suspek memakai topeng muka kira-kira 9.30 pagi di Ipoh, hari ini.

Zulkafli Sariaat
Polis menyiasat kes samun barang kemas di Ipoh itu di bawah Seksyen 395/397 Kanun Keseksaan. (Gambar Bernama)
IPOH:
Polis giat mengesan sekumpulan lelaki disyaki melakukan samun bersenjata terhadap dua lelaki dan melarikan barang kemas dianggar bernilai RM1.54 juta di sini hari ini.

Pemangku Ketua Polis Perak Zulkafli Sariaat berkata pihaknya menerima maklumat berkaitan kejadian kira-kira 9.30 pagi.

Beliau berkata kesemua suspek terdiri daripada beberapa lelaki memakai topeng muka dan bersenjatakan parang telah melarikan diri dengan menaiki kereta jenis Volvo berwarna putih, BMW coklat dan Toyota Estima hitam.

“Ketika kejadian, dua mangsa itu baru keluar dari sebuah premis perniagaan di lokasi berkenaan dan membawa beg berisi barang kemas dianggar seberat 4.1 kilogram bernilai RM1.54 juta.

“Semasa mangsa hendak menyimpan beg terbabit di dalam but kenderaan mereka, suspek-suspek telah meluru dan terus melanggar bahagian belakang kereta sebelum merompak mangsa,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Zulkafli berkata beberapa orang saksi awam telah melihat kejadian dan merakam video dengan menggunakan telefon bimbit bagi membantu siasatan polis.

Beliau berkata berdasarkan siasatan awal, kesemua suspek disyaki menggunakan nombor pendaftaran kenderaan palsu.

Pasukan forensik, katanya sedang menjalankan siasatan lanjut di tempat kejadian bagi mendapatkan bukti dan barang kes yang berkaitan.

“Kes disiasat di bawah Seksyen 395/397 Kanun Keseksaan manakala orang ramai yang mempunyai maklumat diminta tampil ke balai polis berdekatan bagi membantu siasatan,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.