
Beliau berkata, Tinjauan Kebangsaan Kesihatan dan Morbiditi (NHMS) yang dirujuk Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Kelantan menunjukkan daripada 146 kes hamil luar nikah pada 2021, jumlah itu berkurangan kepada 136 kes pada 2022 dan 61 kes tahun lepas.
“Bilangan kes khalwat di Kelantan turut mengalami penurunan, iaitu 196 kes pada 2022, susut kepada 86 kes bagi 2023.
“Ini menunjukkan langkah kerajaan melaksanakan pelbagai program sama ada melalui pendidikan, peranan exco kebajikan, pembangunan keluarga dan wanita beserta pendekatan lain memberi impak dalam menangani gejala sosial di Kelantan,” katanya dalam sesi penggulungan perbahasan sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Kelantan di Kompleks Kota Darulnaim semalam.
Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Wilayah, Sumber Asli, Integriti, Pembangunan Insan dan Undang-undang itu berkata, kerajaan negeri turut mengambil pendekatan menubuhkan jawatankuasa induk bagi menangani gejala sosial di Kelantan.
Menurutnya, jawatankuasa itu bukan hanya dianggotai agensi kerajaan negeri, tetapi juga agensi kerajaan persekutuan termasuk polis, Jabatan Pendidikan dan Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) negeri.
“Kita tidak memandang sepi isu gejala sosial di Kelantan dan kerana itu kita ambil pendekatan ini dengan membahagikannya kepada sembilan kluster,” katanya sambil menambah kerajaan negeri menyediakan peruntukan khas untuk menangani isu berkenaan.