Fahmi ibarat hubungan PAS-Bersatu ‘retak menanti belah’

Fahmi ibarat hubungan PAS-Bersatu ‘retak menanti belah’

Pengarah komunikasi PH itu berkata perbalahan calon perdana menteri dan pengguguran exco Bersatu di Perlis menjadi hubungan PAS-Bersatu semakin panas.

Fahmi Fadzil
Pengarah Komunikasi Pakatan Harapan Fahmi Fadzil turut menyifatkan prestasi pembangkang sebagai semak dan imbang juga sendu, terutama di dalam sidang Dewan Rakyat. (Gambar Bernama)
KUALA LUMPUR:
Beberapa isu dalaman yang melanda Perikatan Nasional (PN) ketika ini menggambarkan hubungan PAS dan Bersatu bagaikan ‘retak menanti belah’, kata Pengarah Komunikasi Pakatan Harapan (PH) Fahmi Fadzil.

Beliau yang juga ketua penerangan PKR menyifatkan hubungan PAS-Bersatu semakin panas berikutan ‘perbalahan’ isu ‘poster boy’ (calon perdana menteri) PN dan terbaharu pengguguran wakil Bersatu dalam rombakan exco Perlis.

Selain isu dalaman, beliau turut menyifatkan prestasi pembangkang sebagai semak dan imbang juga sendu, terutama di dalam sidang Dewan Rakyat.

“… baru-baru ini kita lihat desakan pengerusi (PN) cari ‘poster boy’ baharu, Adun digugurkan di Perlis dan acara besar di Terengganu tidak dijemput pimpinan tertinggi Bersatu, ini bibit-bibit menunjukkan kelemahan dalam PN dan hubungan yang semakin renggang, semakin hari semakin jelas.

“Sudah pasti juga ‘performance’ pembangkang di Parlimen cukup sendu bila mereka tidak boleh membincangkan isu yang substantif, malah untuk dua tahun berturut mereka gagal tampilkan belanjawan alternatif, kita lihat ini retak menanti belah,” katanya kepada pemberita selepas majlis pelancaran Aplikasi MYTV Mana-Mana di IHU Proton.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas pengguguran dua Adun Bersatu daripada jawatan exco Perlis pimpinan PN.

Menurut laporan sebuah portal berita tempatan, alasan pengguguran Adun berkenaan bukan disebabkan prestasi tugas sebaliknya didakwa atas faktor politik.

Sebelum ini ‘perbalahan’ dalam PN terserlah, apabila Naib Presiden Bersatu Ahmad Faizal Azumu dalam satu kenyataan mengesyorkan Muhyiddin Yassin sebagai calon tunggal jawatan perdana menteri PN pada PRU akan datang.

Bagaimanapun, Mursyidul Am PAS Hashim Jasin yang menegaskan parti itu lebih layak memimpin PN sekali gus menolak cadangan Muhyiddin sebagai calon PM untuk gabungan tersebut.

Sementara itu, mengulas polemik penggunaan dwibahasa di papan tanda, beliau yang juga menteri komunikasi berkata setiap pihak berkuasa tempatan (PBT) sudah menetapkan peraturan bagi penggunaan bahasa di papan tanda kedai atau premis.

Justeru, Fahmi berkata tidak sepatutnya perkara itu dijadikan polemik kerana pemilik premis seharusnya mematuhi peraturan yang ditetapkan.

“Kita sedar setiap PBT ada menetapkan peraturan tertentu termasuk papan tanda kepada peniaga mereka harus faham dan patuh.

“Isu ini tidak patut dipolemikkan, tetapi dalam aspek penguatkuasaan, diharapkan ia tidak bersifat bermusim misalnya ditonjolkan di media sosial baru ambil tindakan, sewajarnya pemantauan sentiasa dibuat.

“Sekiranya papan tanda itu dari awal lagi dikenal pasti melanggar peraturan, jangan tunggu bertahun baru ambil tindakan kerana boleh mencetuskan persepsi berbeza kepada rakyat…perlu berlaku adil dari awal,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.