Projek Perlis Inland Port siap Julai 2025

Projek Perlis Inland Port siap Julai 2025

Menteri pengangkutan berkata, projek itu bakal merangsang ekonomi negeri-negeri utara.

Projek Perlis Inland Port di Chuping bertujuan menjadikan Perlis sebagai bandar sempadan dan hab logistik antarabangsa.
PETALING JAYA:
Projek Perlis Inland Port (PIP) di Chuping, Perlis, berhampiran Padang Besar, dijangka siap Julai tahun depan, menurut Menteri Pengangkutan Anthony Loke.

Loke berkata, satu kertas Jemaah Menteri akan dibawa ke Jemaah Menteri dalam tempoh dua bulan ini bagi mendapatkan kelulusan pemindahan operasi kargo yang ketika ini dilaksanakan di Padang Besar ke PIP, menurut laporan Bernama.

“Sekiranya projek ini dimulakan, sudah tentu ia akan menjadi satu projek ekonomi yang dapat merangsang ekonomi di negeri kawasan utara dan Semenanjung,” katanya selepas mempengerusikan mesyuarat Pasukan Petugas Logistik Kebangsaan di Sepang.

Beliau berkata, secara prinsipnya kementerian beliau bersetuju dan menyokong usaha itu kerana akan mencungkil lebih banyak potensi untuk mengendalikan lebih banyak kargo antara Thailand dengan Malaysia.

Katanya, proses memindahkan operasi ke PIP perlu dilakukan dengan teliti serta memerlukan koordinasi antara agensi seperti kastam, imigresen, dan pelbagai agensi kawalan sempadan.

“Kita laksanakan dengan sebaik mungkin supaya tidak ada gangguan terhadap operasi dan juga aktiviti eksport dan import negara. Itu sebabnya (ia) memerlukan kelulusan Kabinet supaya ada punca kuasa untuk mewajibkan semua agensi memberikan kerjasama,” katanya.

Beliau berkata projek PIP membuktikan komitmen kerajaan memajukan semua negeri, termasuk negeri pembangkang.

“Walaupun Perlis itu bukan di bawah pentadbiran Kerajaan Perpaduan tetapi kita masih meneruskan usaha untuk memajukan semua negeri, semua wilayah di dalam Malaysia,” katanya.

Projek PIP ini antara lain bertujuan menjadikan Perlis sebagai bandar sempadan dan hab logistik antarabangsa.

Ini akan dilaksanakan menerusi perkongsian awam-swasta, dengan Pihak Berkuasa Pelaksanaan Koridor Utara (NCIA) mengendalikan pembangunan infrastruktur luar manakala Mutiara Perlis Sdn Bhd akan membangunkan pelabuhan itu dan komponen lain yang berkaitan.

Menurut laporan terdahulu, kontena dari Bangkok, Laos dan sebahagian kawasan di China dijangka menggunakan PIP sebelum menuju ke pelabuhan pilihan lain, sama ada di Pulau Pinang atau Singapura.

Pelabuhan darat itu jangka mengendalikan lebih sejuta kontena setahun.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.