
Beliau berkata satu seksyen baharu berkaitan telah dicadang untuk ditambah dalam pindaan akta berkenaan.
“Dengan adanya satu seksyen baharu sekiranya diluluskan di Dewan Rakyat ini, polis berkuasa untuk meminta penyedia platform media sosial untuk menzahirkan data tersebut mengenai sebarang pengguna akaun tersebut.

“Kami harap ini akan mempermudahkan siasatan oleh polis,” katanya menjawab soalan tambahan Afnan Hamimi Taib Azamudden (PN-Alor Setar) mengenai usaha menangani penyebaran fitnah khususnya oleh pemilik akaun media sosial palsu di Dewan Rakyat.
Afnan turut mempersoalkan tindakan kerajaan susulan insiden suntingan video oleh pihak tidak bertanggungjawab bagi memberi gambaran seolah-olah kerajaan mengiktiraf kewujudan Israel yang berniat mengelirukan.
Bagaimanapun, Teo berkata itu terserah kepada polis untuk memberi penjelasan berhubung dakwaan berkenaan.
Rabu lalu, Ketua Polis Negara Razarudin Husain mengesahkan kertas siasatan video tular yang didakwa memfitnah Perdana Menteri Anwar Ibrahim berhubung wawancaranya dengan CNN akan dirujuk Jabatan Peguam Negara (AGC) dalam masa terdekat.
Katanya, setakat ini terdapat sebanyak 11 laporan berkaitan isu sama dan seramai 12 saksi sudah dirakam keterangan.
Menurut video tular yang turut dilaporkan beberapa portal itu, Anwar dalam wawancara bersama wartawan Richard Quest seolah-olah mengiktiraf hak Israel untuk wujud dan ‘mempertahankan diri’.
Bagaimanapun, Anwar menolak dakwaan pihak tertentu bahawa beliau mengiktiraf Israel dan menyifatkan tuduhan tersebut sebagai fitnah yang diangkat atas nama agama.