
Pada sidang media selepas mempengerusikan Mesyuarat Pasukan Petugas Logistik Kebangsaan (NLTF), Menteri Loke Siew Fook berkata pihaknya menyambut baik cadangan tersebut, namun ia memerlukan penelitian lanjut sebelum sebarang ketetapan dibuat mengenainya.
“Itu kita kena kaji dulu laporan (cadangan) tersebut. Kita tidak terburu-buru untuk meletakkan apa-apa syarat tambahan.
“Sudah tentu ada implikasinya dan kita kena lihat kelebihan dan kekurangannya apabila apa-apa syarat tambahan (baharu) diletakkan,” katanya.
Loke mengulas isu kerelevanan pemandu berusia 65 tahun melakukan penilaian kompetensi dan kesihatan sebelum memperbaharui lesen mereka.
Beliau menegaskan sebarang usaha memperkenalkan syarat tambahan baharu perlu dilaksanakan secara berhati-hati supaya tidak memberikan implikasi yang negatif.
Sebelum ini media melaporkan peningkatan kes kemalangan jalan raya melibatkan pemandu warga emas di negara ini boleh dikurangkan jika syarat tambahan bagi pembaharuan lesen memandu untuk golongan tersebut diperkenalkan.
Antara syarat yang boleh diusulkan ialah warga emas berusia 65 tahun ke atas yang masih ingin memandu, perlu melakukan penilaian kompetensi dan kesihatan, berikutan tiada had umur maksimum untuk golongan itu memandu di jalan raya.