
Timbalan pengerusi PN berkata, mesyuarat Majlis Tertinggi berfungsi sebagai landasan untuk membincangkan ‘topik hangat’ dan untuk parti komponen menyelesaikan perselisihan sesama mereka.
“Ini termasuk kenyataan PAS baru-baru ini bahawa tidak perlu mengeluarkan deklarasi mengenai hak orang bukan Melayu dan perbahasan mengenai calon perdana menteri,” kata Lau kepada pemberita selepas sambutan Deepavali anjuran Gerakan hari ini.
“Ini adalah perbezaan pendapat yang perlu diselesaikan.”
Pada Jumaat, Mursyidul Am PAS Hashim Jasin menggesa rundingan diadakan berhubung jawatan pengerusi PN selepas menyatakan PAS lebih layak menerajui gabungan itu.
PAS ketika ini memiliki jumlah kerusi Parlimen terbesar dalam PN iaitu 43, lebih 18 berbanding sekutunya Bersatu.
Parti itu juga memerintah Perlis, Kedah, Terengganu, dan Kelantan.
Lau dan Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) Bersatu, Wan Saiful Wan Jan, bagaimanapun mengulangi sokongan kepada Pengerusi PN dan Presiden Bersatu Muhyiddin Yassin untuk kekal mengetuai gabungan itu dan calon bagi jawatan perdana menteri.
Lau berkata, namun percanggahan pendapat mengenai ‘poster boy’ gabungan itu untuk PRU akan datang tidak akan menjejaskan hubungan dalam kalangan parti komponen PN kerana perbezaan adalah perkara biasa dalam mana-mana gabungan.
Katanya, beliau tidak pasti sama ada pandangan Hashim adalah pendapat peribadi atau mewakili PAS, namun tidak sepatutnya menyatakannya kepada media.
“Tetapi memandangkan beliau sudah melakukannya, Gerakan juga menjelaskan pandangan kami,” katanya.
Lau juga berkata, dinamik politik negara tidak lagi berdasarkan penguasaan satu parti, dan pemilihan calon perdana menteri tidak seharusnya berdasarkan kerusi Parlimen parti, tetapi keupayaan pemimpin untuk menguasai majoriti di Parlimen.