
Katanya, dalam menyelesaikan pertikaian semua pihak harus melihat sejarah pembentukan Malaysia 61 tahun lalu terlebih dulu, merujuk perjanjian antara pemimpin terdahulu sehingga mewujudkan Perlembagaan Persekutuan.
Beliau menjelaskan ia kemudian diterjemah kepada sudut undang-undang, hubungan manusia dan politik yang dapat dilihat menerusi penubuhan kerajan perpaduan ketika ini diwakili pelbagai parti termasuk Sabah dan Sarawak.
“Kabinet kalau tak faham akan runding untuk cari titik persefahaman, dalam konteks parlimen pun dalam dua tahun penggal ini kerjasama erat antara (wakil rakyat) kerajaan perpaduan.
“Inilah tumpuan Madani sekarang ini untuk cari titik persamaan dan selesaikan segala pertelingkahan dengan sentiasa berunding dan menghormati satu sama lain.
“Dengan cara itu kita dapat kekalkan kekuatan,” katanya yang mengakui soalan berkait persekutuan sebagai mencabar mengambil kira situasi semasa.
Beliau berkata demikian pada sesi ‘townhall’ majlis sambutan dua tahun kerajaan Madani di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC).
Bagaimanapun, Fadillah yang juga menteri peralihan tenaga dan transformasi air tidak menyebut secara khusus isu terbabit.
Namun, ketika ini timbul pertikaian hak eksplorasi minyak dan gas di luar pantai Sarawak membabitkan Petroleum Sarawak Bhd (Petros) dan Petroliam Nasional Berhad (Petronas) yang masih berunding.
Kerajaan Sarawak sebelum ini menegaskan Petros kekal sebagai agregator gas tunggal bawah Ordinan Pengagihan Gas.
Petronas, syarikat minyak dan gas negara dalam kenyataan awal bulan ini berkata perbincangan yang berterusan itu bertujuan menyelaraskan kepentingan serta objektif semua pihak di samping memelihara pengaturan kontrak sedia ada.
Perbincangan juga bagi memastikan komitmen kepada pelabur dan pelanggan terus dipenuhi.