
Beliau berkata, polis juga tidak berhenti berusaha mencari maklumat baharu yang dapat membantu siasatan kes.
Katanya, sejak siasatan dibuka Mei lalu, seramai 23 individu diambil keterangan manakala tiga suspek ditahan bagi membantu siasatan.
“Daripada tangkapan dilakukan itu, pihak Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman membuat siasatan secara terperinci, namun tiada bukti dapat mengaitkan ketiga-tiga suspek dengan kes terbabit.
“Hasil analisis forensik terhadap telefon ketiga-tiga suspek mendapati tiada bukti atau perbualan yang mereka terlibat dalam kes itu.
“Malah, pihak JSJ juga melakukan pemeriksaan terhadap akaun-akaun bank mereka (suspek), namun tiada sebarang transaksi wang meragukan atau upah bayaran ditemukan,” katanya menurut Berita Harian.
Semalam, media melaporkan kerajaan Selangor masih menunggu laporan siasatan kes itu.
Pengerusi Jawatankuasa Tetap Belia, Sukan dan Keusahawanan negeri, Najwan Halimi dipetik sebagai berkata, pihaknya juga tidak menerima maklum balas daripada polis berhubung kes itu.
Sementara itu, Razarudin berkata pemeriksaan terhadap nombor plat motosikal digunakan suspek dalam kes tersebut juga didapati palsu.
Katanya, polis turut meminta bantuan orang ramai dengan mengeluarkan fotofit suspek, namun sehingga kini tiada maklumat yang benar-benar dapat membantu siasatan.
“Walaupun pelbagai usaha dibuat pihak polis, kita tidak pernah menghentikan siasatan dan menunggu sekiranya terdapat maklumat baharu bagi kes ini.
“Justeru, kita meminta orang ramai yang mempunyai maklumat tampil dan menyalurkannya kepada polis,” katanya.