Perpaduan kaum tak kekal tanpa usaha, kata menteri

Perpaduan kaum tak kekal tanpa usaha, kata menteri

Menteri perpaduan berkata penggunaan media sosial dan polarisasi masyarakat memerlukan rakyat Malaysia terus waspada.

aaron ago dagang
Menteri Perpaduan Negara Aaron Ago Dagang, berkata kementerian telah melaksanakan lebih 300 program berimpak tinggi bagi memperkukuh perpaduan kaum.
KUALA LUMPUR:
Perpaduan kaum dan kepelbagaian budaya di negara ini perlu terus diperkukuh semua pihak dan tidak boleh mengambilnya sebagai sesuatu yang kekal tanpa usaha, kata Menteri Perpaduan Negara Aaron Ago Dagang.

Beliau berkata, untuk tahun ini, kementerian telah melaksanakan lebih 300 program berimpak tinggi bagi memperkukuh perpaduan kaum.

“Pada hari ini, kita boleh berbangga bahawa Malaysia adalah antara negara yang berjaya mengekalkan keamanan walaupun mempunyai kepelbagaian kaum. Bagaimanapun, cabaran dunia moden termasuk penggunaan media sosial dan polarisasi masyarakat, memerlukan kita untuk terus waspada.

“Oleh itu, adalah menjadi tanggungjawab kita semua untuk memastikan warisan ini terus terpelihara kini dan untuk masa depan,” katanya berucap merasmikan Festival Anak Sarawak, yang turut dihadiri Ketua Setiausaha Kementerian Hasnol Zam Zam Ahmad dan Ketua Pengarah Jabatan Muzium Kamarul Baharin A Kasim.

Menyentuh mengenai festival berkenaan, Aaron berkata ia bukan sahaja menjadi medan meraikan keindahan warisan budaya, tetapi juga ruang memperkukuh hubungan antara komuniti dan menyemai nilai murni yang menjadi tunjang perpaduan.

“Festival Anak Sarawak hari ini adalah manifestasi bagaimana budaya boleh menjadi alat penyatuan. Kekayaan etnik di Sarawak seperti Iban, Bidayuh, Orang Ulu, Melayu Sarawak, Melanau, Cina, dan lain-lain telah membuktikan dan mencerminkan satu keunikan luar biasa.

“Melalui festival ini, kita bukan sahaja meraikan identiti budaya kita, tetapi juga mengukuhkan ikatan sebagai satu keluarga besar rakyat Malaysia,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.