
Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) Azmi Rohani berkata, dua sungai di daerah Tangkak, iaitu Sungai Kesang di Telok Rimba dan Sungai Tangkak di Kampung Seri Ma’amor, serta Sungai Muar di Buloh Kasap, Segamat berada pada paras waspada.
Sementara itu, sebanyak 250 orang mangsa masih berlindung di tujuh PPS di Terengganu setakat 8 malam tadi, berbanding 398 orang pada 8 pagi, lapor Bernama.
Menurut Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Banjir Negeri Terengganu (JPBNT), Marang menjadi daerah paling terjejas dengan 195 orang daripada 37 keluarga ditempatkan di empat PPS, iaitu Dewan Sivik Wakaf Tapai, SK Simpang Rawai, Dewan Sivik Mercang dan SK Pengkalan Berangan.
Di Hulu Terengganu, 21 mangsa daripada lapan keluarga berada di PPS Masjid Hadhari Tok Randok, manakala di Dungun, 37 mangsa daripada sembilan keluarga berada di PPS Balai Raya Alor Mak Bah dan SK Tok Kah.
Di Melaka, jumlah mangsa banjir menurun kepada 231 orang daripada 64 keluarga setakat 8 malam, berbanding 264 orang daripada 71 keluarga pagi tadi.
Sekretariat Jawatankuasa Bencana Negeri Melaka dalam satu kenyataan memaklumkan, 181 mangsa ditempatkan di PPS SK Tanjung Minyak 2; 35 orang di PPS Kompleks Japerun Pantai Kundur; dan 15 di PPS SK Taman Bukit Rambai.
Portal Info Bencana Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) memaparkan jumlah mangsa banjir di Kelantan yang dipindahkan ke PPS SMK Beris Panchor, Bachok, kekal 40 orang daripada 11 keluarga malam ini.
Setakat 8 malam, paras air Sungai Golok di Rantau Panjang mencatatkan paras 8.73m, melebihi paras amaran 8m.
Di Perak, satu-satunya PPS di Dewan Orang Ramai Simpang Halt di daerah Larut, Matang dan Selama, yang menempatkan 68 orang daripada 23 keluarga pagi tadi, ditutup sepenuhnya petang tadi, menurut Sekretariat JPBN Perak.
Bagaimanapun, Jabatan Meterologi Malaysia (MetMalaysia) meramalkan hujan melanda semua daerah di Perak pada malam ini, termasuk Larut, Matang dan Selama; Kerian; Manjung; Perak Tengah; Hulu Perak; Bagan Datuk; Hilir Perak; Kuala Kangsar; Kinta; Kampar; Batang Padang dan Muallim.