
Pegawai Daerah Kampar, Nazrul Fazami Mohamad bagaimanapun berkata, semua pengusaha aktiviti perlu mematuhi Garis Panduan Pengoperasian Aktiviti Riadah dan Sukan Air yang ditetapkan Jawatankuasa Pengurusan Bencana Daerah (JPBD).
“Sepertimana semua sedia maklum, semua aktiviti riadah dan sukan air ini dihentikan serta-merta sebelum ini disebabkan fenomena air besar (kepala air) di Sungai Jahang yang meragut tiga nyawa.
“Susulan itu, beberapa sesi pertemuan diadakan wakil JPBD Kampar bersama pengusaha terlibat, dan hasilnya satu garis panduan diwujudkan sebagai panduan pengusaha terbabit,” katanya dalam kenyataan.
Pada 15 Nov lepas, tiga kakitangan Jabatan Kerja Raya (JKR) lemas selepas bot rafting yang mereka naiki menyusuri Sungai Jahang terbalik akibat kepala air.
Sementara itu, seorang pengusaha aktiviti riadah dan sukan air, Mohd Shah Rizal Mohd Yasin, 39, berkata dia menyambut baik keputusan JPBD Kampar membenarkan aktiviti berkenaan dijalankan semula mengikut prosedur operasi standard (SOP).
Ini kerana, katanya aktiviti berkenaan antara sumber mata pencarian utamanya sejak sembilan tahun lepas.
“Bukan saya saja, malah 21 pengusaha aktiviti sama di kawasan Gopeng dan Kampar begitu lega dengan keputusan JBPD Kampar selepas seminggu terpaksa menutup operasi.
“Dengan keputusan ini juga, kami boleh kembali menjana pendapatan seperti kebiasaan dan berjanji akan mematuhi garis panduan ditetapkan.”