
N Sivananthan berkata banyak masa dan sumber boleh dijimatkan dengan membenarkan pengarah negeri untuk menggugurkan atau mengurangkan pertuduhan terhadap tertuduh, termasuk ketika perbicaraan sedang berlangsung.
“Timbalan pendakwa raya (TPR) mempunyai akses langsung dan pantas kepada pengarah mereka untuk membuat keputusan berhubung representasi yang dikemukakan,” katanya.
Beliau berkata pengarah pendakwaan negeri mempunyai akses kepada pegawai penyiasat kes dan boleh mendapatkan maklum balas atau mengarahkan siasatan lanjut dengan lebih mudah.
Katanya, TPR yang mengendalikan perbicaraan di mahkamah boleh segera merujuk kepada pengarah mereka untuk membuat keputusan sekiranya kes pendakwaan kelihatan lemah.
Sivananthan berkata ini adalah salah satu daripada beberapa pembaharuan yang diharapkan peguam jenayah daripada Dasuki yang juga bekas TPR dan dilantik sebagai peguam negara pada minggu lalu.
Menurutnya, Dusuki seorang TPR yang ‘praktikal’ dan akan lebih memahami kebimbangan peguam kerana pernah tampil di mahkamah bersama mereka dalam perbicaraan dan rayuan.
Katanya, selama 25 tahun, semua keputusan berkaitan representasi diselaraskan dan dikendalikan oleh Pejabat Peguam Negara di Putrajaya.
Dusuki, 57, bekas ketua bahagian perbicaraan dan rayuan di Pejabat Peguam Negara, dilantik sebagai peguam negara pada 12 Nov, menggantikan Ahmad Terrirudin Salleh yang dilantik sebagai hakim Mahkamah Persekutuan.
Seorang lagi peguam Salim Bashir berharap Dusuki akan mengarahkan TPR supaya tidak meminta mahkamah mengenakan jumlah jaminan yang tinggi terhadap tertuduh yang tidak diwakili.
“Jaminan dikenakan untuk memastikan kehadiran tertuduh semasa perbicaraan, bukan untuk menghukum mereka sebelum keterangan saksi didengar dan bukti dikemukakan,” kata Salim yang bekas presiden Majlis Peguam.
Beliau berkata TPR perlu diingatkan bahawa tertuduh dianggap tidak bersalah sehingga dibuktikan bersalah, dan mereka mesti diberi peluang untuk membayar jaminan pada jumlah yang munasabah.
“Pegawai peguam negara di mahkamah perlu seiring dengan matlamat kerajaan untuk mengurangkan kesesakan di penjara,” tambahnya.
Peguam kanan Hisyam Teh Poh Teik pula berkata peguam negara mesti hanya mendakwa suspek jika yakin kes prima facie boleh dibuktikan.
“Tindakan ini mesti berdasarkan bukti kukuh dan bukan faktor luaran,” katanya.
Menurut Hisyam, pendakwaan harus dilakukan selepas siasatan lengkap dan menyeluruh, bukannya dakwa dahulu dan siasat kemudian.