
Pusat itu diperkenalkan pada 2023 di Kuala Lumpur, Perak, Johor dan Pulau Pinang bagi menangani ‘pergaduhan’ penduduk disebabkan isu remeh antaranya bunyi bising, haiwan peliharaan membuang najis merata tempat, berebut parkir dan sampah milik jiran berbau busuk.
Melihat perkembangan positif peranannya, pusat itu yang ditubuhkan bawah Kementerian Perpaduan Negara (KPN) diperluaskan ke Melaka, Negeri Sembilan, Putrajaya dan Perlis tahun ini.
Menteri Aaron Ago Dagang berkata, sedar pertikaian berkait isu remeh sering tercetus kementeriannya segera mewujudkan pusat itu sebagai ‘orang tengah’ bagi menyelesaikan konflik.

Katanya, sekurang-kurangnya 571 mediator terlatih dan bertauliah dilantik bagi mendamaikan pihak bertelagah.
“Di Kuala Lumpur banyak isu pertikaian dicatatkan. Tapi ia berjaya diselesaikan mediator komuniti tanpa perlu melibatkan polis dan mahkamah.
“Paling penting isu 3R (raja, agama dan kaum) kita kena segera selesaikan jika tidak ia akan merebak. Ini kepakaran mediator bertauliah kita,” katanya dalam temu bual FMT.
Aaron berkata, penubuhan pusat itu berlandaskan empat objektif utama iaitu menyelesaikan pertikaian di peringkat akar umbi, memberikan khidmat secara percuma, menyediakan sesi kaunseling serta nasihat selain menjalankan aktiviti dan mempromosikan isu berkait mediasi.

Toleransi
Sementara itu, pesara Abdul Rashid Ahmari, 49, berkata pertikaian membabitkan hal remeh tidak berbaloi diperbesarkan sehingga mengundang campur tangan pihak berkuasa atau melarat ke mahkamah.
Katanya, sebagai penduduk di ibu kota yang jumlahnya terlalu padat, sifat toleransi perlu ada.

“Polis pun banyak kerja lagi nak buat dan selalunya polis suruh selesaikan secara baik,” katanya yang mendiami sebuah flat di ibu kota.
Suri rumah, Zarina Mat Yusof, 52, menyifatkan inisiatif KPN melantik mediator untuk menyelesaikan pertikaian di sesuatu kawasan berpenduduk padat tepat pada masanya.
“Inisiatif ini amat bersesuaian dengan semakin banyak isu yang kita dengar. Saya harap kerajaan akan beri lebih banyak peruntukan kepada KPN bagi membolehkan ramai mediator dilantik di seluruh negara,” katanya.