
Kementerian Pendidikan (KPM) berkata kunjungan itu juga usaha menyokong hala tuju pendekatan dasar luar Malaysia dengan negara ini sedia memberikan bantuan pembangunan dalam bidang kesihatan dan kemanusiaan yang akan menyumbang kepada kemajuan sosial Afghanistan.
“Menerusi kunjungan ini, Kementerian Pendidikan (KPM) telah melaksanakan pembentangan yang memberi gambaran menyeluruh sistem pendidikan negara termasuk berkenaan pendidikan untuk kanak-kanak perempuan dan wanita di Malaysia.
“Ia memperlihatkan sistem pendidikan negara yang inklusif serta tumpuan kepada peningkatan akses dan ekuiti merentasi status sosial ekonomi, gender, etnik dan geografi,” katanya dalam kenyataan.
Kenyataan itu hadir susulan Pengerusi DAP Lim Guan Eng meminta Menteri Pendidikan Fadhlina Sidek menjelaskan alasan KPM menjadi tuan rumah kepada delegasi kerajaan Afghanistan yang kini di bawah pimpinan Taliban.
Guan Eng berkata beliau membangkitkan isu itu bukan sahaja sebagai wakil rakyat, tetapi juga sebagai seorang yang memandang serius hak asasi manusia, khususnya pendidikan wanita.
Pada 16 Nov lalu, Fadhlina mengesahkan KPM menjadi tuan rumah kepada delegasi Kementerian Pendidikan Afghanistan pimpinan Taliban yang mengadakan lawatan selama seminggu pada awal bulan ini.
Mengulas lanjut, KPM berkata kunjungan ini turut memberi pendedahan kepada delegasi Afghanistan untuk melihat sendiri dan memahami model pendidikan terbaik di negara Islam moden yang disegani di peringkat antarabangsa.
“Delegasi Afghanistan juga menyatakan hasrat untuk menjadikan Malaysia sebagai rujukan amalan terbaik dalam membangunkan dasar pendidikan di negara tersebut khususnya daripada aspek pembangunan kurikulum, latihan dan pembangunan guru serta teknologi pendidikan,” katanya.
Pada masa sama, KPM berkata Malaysia komited dan menyokong penuh hak pendidikan kepada wanita serta kanak-kanak perempuan.
Afghanistan adalah satu-satunya negara di dunia yang tidak membenarkan gadis dan wanita belajar di sekolah menengah dan universiti.