
Syarikat itu berkata, semua pengguna baharu kini mesti melengkapkan pengesahan eKYC untuk mengakses ciri eWallet TNG.
Langkah ini dilaksanakan berikutan tempoh penangguhan selama 10 bulan bagi pengguna mengesahkan akaun eWallet TNG dengan pengesahan eKYC mandatori ditetapkan berkuatkuasa sepenuhnya sebelum 20 Dis.
“Pengguna bukan eKYC terhad kepada baki eWallet yang rendah selain hanya boleh mengakses ciri pembayaran asas dan tol termasuk tambah nilai kad Komunikasi Medan Dekat (NFC) serta Identifikasi Frekuensi Radio (RFID).
“Bagi pengguna bukan eKYC sedia ada, akses mereka akan disekat secara berperingkat,” kata syarikat itu dalam kenyataan.
Tambahnya, pengguna bukan eKYC akan berdepan sekatan berperingkat sehingga akaun eWallet mereka disahkan sepenuhnya, dan akan kehilangan akses sepenuhnya jika tidak disahkan.
Menurut TNG Digital, pengguna boleh mengesahkan akaun mereka dengan mengetik pilihan ‘Tidak Disahkan’ di halaman profil aplikasi.
Dalam pada itu, pengguna Malaysia boleh menggunakan MyKad atau MyTentera untuk eKYC manakala penduduk tetap Malaysia serta warganegara asing boleh menggunakan pasport.
Inisiatif ini bertujuan mengukuhkan perlindungan pengguna, mendedahkan ciri eksklusif selain menekankan komitmen TNG Digital terhadap pematuhan peraturan dan pengurusan risiko.
Dari sudut pandang industri, TNG Digital menekankan pencapaian pengesahan eKYC sepenuhnya dalam kalangan penggunanya selain meningkatkan keupayaan untuk mengenal pasti dan menghapuskan akaun keldai serta kegiatan penipuan, sekali gus melindungi integriti ekosistem.
Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif TNG Digital Alan Ni berkata, langkah ini penting untuk meningkatkan keselamatan platform dan mengurangkan risiko pengambilalihan akaun.
“Keselamatan ialah keutamaan utama kami di TNG Digital. Melaksanakan eKYC sepenuhnya ialah langkah berani, namun perlu selain menjadikan kami eWallet pertama yang mengambil langkah ini,” katanya.
Ni juga berkata, TNG eWallet mengekalkan kadar penipuan 90% lebih rendah daripada purata pasaran untuk pembayaran kad, yang dikaitkan dengan langkah keselamatan yang kukuh serta komitmen syarikat terhadap perlindungan pengguna.