JPJ saman 4,634 kenderaan Singapura bernilai RM1.39 juta

JPJ saman 4,634 kenderaan Singapura bernilai RM1.39 juta

Dalam operasi permit kemasukan kenderaan (VEP) pemandu wajib selesai saman RM300 sebelum keluar negara ini.

operasi vep jpj
JPJ berkata, sebanyak 65,039 kenderaan Singapura diperiksa sejak operasi berlangsung 1 Julai hingga Khamis lalu. (Gambar Bernama)
PETALING JAYA:
Sejumlah 4,634 saman bernilai RM1.39 juta dikeluarkan ke atas kenderaan Singapura di sempadan darat Malaysia-Singapura, sejak 1 Julai sehingga Khamis lalu.

Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) berkata dalam Op Penguatkuasaan Permit Kemasukan Kenderaan (VEP) sebanyak 65,039 kenderaan Singapura diperiksa dalam tempoh itu di luar Kompleks Kastam, Imigresen dan Kuarantin (CIQ), Bangunan Sultan Iskandar (BSI) dan Kompleks Sultan Abu Bakar (KSAB) serta sekitar bandar raya berkenaan.

“Jumlah saman yang dikeluarkan meliputi pemilik atau pemandu kenderaan persendirian individu dan kenderaan persendirian syarikat yang dikesan tidak mendaftar VEP atau VEP tamat tempoh serta kenderaan masih berstatus pradaftar.

“Bagi kenderaan berkenaan, tindakan saman akan dibuat dan wajib membayar saman serta perlu mendaftar VEP sebelum keluar dari Malaysia, ia selaras Seksyen 66J Akta Pengangkutan Jalan 1987 (Akta 333),” menurut Bernama memetik kenyataan.

Pemandu kenderaan berdaftar Singapura yang memasuki negara tanpa permit berkenaan berisiko dikompaun RM300.

Dalam pada itu, JPJ memaklumkan sebanyak 345,238 tag RFID telah dikeluarkan sejak Khamis lepas, dengan status pemasangan tag yang aktif melibatkan 292,692 kenderaan persendirian individu manakala 16,404 kenderaan belum aktif.

Sebanyak 28,344 tag RFID aktif pula melibatkan kenderaan persendirian syarikat manakala 7,798 tag lagi tidak aktif.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.