Timbul kebimbangan mengenai tambah jam kerja jururawat

Timbul kebimbangan mengenai tambah jam kerja jururawat

Bermula 1 Dis, jururawat yang bekerja secara syif dikehendaki bekerja selama 45 jam seminggu, bertambah daripada 42 jam ketika ini.

wad hospital
Senator RA Lingeshwaran berkata jururawat dan pekerja di sektor penjagaan kesihatan jarang mempunyai masa untuk berehat dan sentiasa berada di bawah tekanan untuk menjaga pesakit.
PETALING JAYA:
Beberapa pihak menyuarakan kebimbangan mengenai arahan baharu di bawah Sistem Saraan Perkhidmatan Awam (SSPA) yang akan memerlukan jururawat di wad hospital untuk bekerja tambahan tiga jam seminggu.

Mulai 1 Dis, jururawat yang bekerja secara syif dikehendaki bekerja selama 45 jam seminggu, bertambah daripada 42 jam ketika ini.

Susulan arahan ini, hospital sedang mempertimbangkan untuk menyemak semula waktu syif semasa kepada 7 pagi–3 petang, 3 petang–10 malam, dan 10 malam–7 pagi keesokan hari. Pada masa ini, waktu syif adalah 7 pagi–2 petang, 2 petang–9 malam, dan 9 malam–7 pagi keesokan harinya.

RA Lingeshwaran.

Senator RA Lingeshwaran yang juga bekas pengarah Hospital Sungai Bakap di Pulau Pinang, berkata bekerja 45 jam seminggu adalah lebih sesuai untuk penjawat awam di pejabat yang bekerja lima hari seminggu dari 8 pagi hingga 5 petang dengan cuti hujung minggu.

“Bagi pekerja syif… terutamanya dalam perkhidmatan penting seperti kesihatan dan keselamatan, kerja mereka adalah sepanjang masa sepanjang tahun,” katanya kepada FMT.

“Jam bekerja dan persekitaran untuk pekerja syif seperti ini sangat berbeza dengan mereka yang bekerja di pejabat dari 8 pagi hingga 5 petang.”

Lingeshwaran berkata membandingkan pekerja syif dengan pekerja pejabat adalah tidak logik kerana kesan fizikal dan mental akibat bekerja syif malam adalah jauh berbeza.

“Kecemasan sering berlaku pada waktu malam, menyebabkan kakitangan berjaga. Masa yang diberikan untuk mereka berehat pada siang hari tidak mencukupi untuk menggantikan tidur yang hilang,” katanya.

Tambahnya, jururawat juga tidak diberi elaun syif seperti pekerja syif sektor swasta.

Lingeshwaran juga menyatakan bahawa waktu kerja sebenar pekerja pejabat hanya kira-kira 39 jam seminggu kerana mengambil kira waktu rehat makan tengah hari selama sejam dan masa solat Jumaat.

Katanya, jururawat dan pekerja kesihatan jarang mempunyai masa untuk berehat kerana sentiasa berada di bawah tekanan menjaga pesakit.

“Kakitangan perkhidmatan penting, tidak mempunyai ‘keistimewaan’ yang sama,” katanya yang menambah jururawat biasanya akan makan secara ringkas atau segera ketika bekerja.

“Mereka sudah berada di bawah tekanan untuk meluangkan masa secukupnya bersama keluarga. Tambah masa bekerja ini akan memberi kesan buruk kepada kualiti kehidupan mereka.”

Saaidah Athman.

Presiden Kesatuan Jururawat Malaya, Saaidah Athman berkata tidak adil membandingkan jururawat yang bekerja secara syif, termasuk tugas malam, dengan pekerja pejabat yang hanya bekerja pada hari biasa.

Saaidah berkata walaupun Jabatan Perkhidmatan Awam mengeluarkan pekeliling SSPA, jururawat masih menunggu arahan rasmi daripada Kementerian Kesihatan mengenai waktu kerja tambahan itu.

“Kebanyakan jururawat adalah wanita yang berkeluarga, dan menambah waktu bekerja akan menyebabkan lebih banyak tekanan,” katanya.

“Saya berharap Kementerian Kesihatan akan mempertimbangkan bebanan kami”.

FMT menghubungi Kementerian Kesihatan untuk mendapatkan komen.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.