
Irma Julyanti Buang, 39, membuat pengakuan itu selepas kedua-dua tuduhan terhadapnya dibacakan oleh jurubahasa mahkamah di hadapan Hakim K Muniandy.
Mahkamah kemudian menetapkan 19 Dis ini untuk sebutan kes.
Irma Julyanti dituduh memberikan sokongan kepada Daesh menggunakan Facebook atas nama Bunga Dahlia dan TikTok atas nama ‘bungadahlia111’, dan dia dikesan melakukan perbuatan itu di Pusat Tahanan Polis Batu Muda, Kuala Lumpur pada 28 Jun lepas.
Tuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 130J(1)(a) Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum 40 tahun atau denda, serta dilucut hak mana-mana harta yang telah digunakan atau diniat untuk digunakan dalam melakukan kesalahan itu, jika sabit kesalahan.
Wanita itu turut dituduh memiliki bahan-bahan berkaitan Daesh dalam telefon bimbit dan komputer riba di sebuah rumah di Felda Moakil, Labis, Johor pada 23 Jun lepas.
Tuduhan dibuat mengikut Seksyen 130JB(1)(a) kanun sama yang membawa hukuman penjara maksimum tujuh tahun atau denda, dan dilucut hak mana-mana bahan tersebut, jika sabit kesalahan.
Terdahulu, Azfar Asadullah Abdul Sathar selaku peguam mewakili tertuduh memohon mahkamah menetapkan tarikh sebutan lain berikutan pihaknya memerlukan masa untuk meneliti dokumen berhubung pengakuan salah anak guamnya.
Beliau turut memaklumkan beliau baru dilantik sebagai peguam tertuduh.
Pada prosiding hari ini, kes dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Maryam Jamielah Ab Manaff.