
Di bawah skim tenaga boleh baharu (TBB) ini, pengguna elektrik boleh memasang sistem solar PV untuk kegunaan sendiri dan lebihan elektrik yang dijana boleh dieksport kembali ke sistem grid TNB sebagai kredit tenaga pada kadar tarif yang diwartakan.
Sejak skim ini diperkenalkan, kuota berjumlah 1,600 megawatt (MW) telah ditawarkan di bawah tiga kategori iaitu NEM Rakyat dengan kuota 400MW untuk pengguna kategori domestik, NEM GoMEn dengan kuota 100MW untuk kategori premis kerajaan dan NEM NOVA dengan kuota berjumlah 1,100MW untuk pengguna kategori komersial dan industri.
Jimat bil elektrik, tenaga bersih
Pengguna yang memasang sistem solar PV ini boleh menjana bekalan elektrik hijau untuk kegunaan sendiri dan mengurangkan kebergantungan kepada penjanaan elektrik daripada bahan api fosil, ia juga boleh mengurangkan bil elektrik dalam jangka panjang.
Pada masa yang sama, galakkan penyertaan ke program NEM Rakyat juga diperkasa menerusi inisiatif Solar for Rakyat Incentive Scheme (SolaRIS) yang telah diperkenalkan khusus untuk menggalakkan pemasangan sistem solar PV oleh pengguna domestik.
Menariknya inisiatif ini yang diterajui Kementerian Peralihan Tenaga dan Transformasi Air bermula 1 Apr lalu itu menyediakan rebat sebanyak RM1,000/kWac sehingga maksimum RM4,000 kepada mereka yang layak, membolehkan kos pemasangan sistem solar dikurangkan.
Skim insentif ini akan dibuka sehingga 31 Mac 2025 atau sehingga kesemua kuota rebat SolaRIS habis diagihkan.
Dapat sambutan
Menerusi pelbagai insentif disediakan kerajaan itu pastinya menarik pengguna menyertai program yang bersifat serampang dua mata terbabit iaitu mengurangkan bil elektrik dan pada masa sama menyumbang kepada kelestarian alam sekitar untuk jangka panjang.
Pada 9 Jul lalu, Timbalan Perdana Menteri Fadillah Yusof yang juga juga menteri peralihan tenaga dan transformasi air berkata analisa aliran permohonan menunjukkan bahawa purata bilangan permohonan NEM Rakyat telah meningkat.

Menurutnya, peningkatan itu dari kira-kira 100 permohonan sehari sebelum ini kepada 150 permohonan sehari selepas Skim SolaRIS dilancarkan.
“Langkah ini sekali gus meningkatkan kadar penyerapan (uptake) pemasangan solar dalam kalangan pengguna domestik dan secara tidak langsung akan menyumbang kepada sasaran peningkatan kapasiti tenaga boleh baharu selaras dengan Pelan Hala Tuju Peralihan Tenaga Negara (NETR),” katanya.
Siapa layak mohon NEM Rakyat
Pengguna domestik yang ingin menyertai program SolaRIS ini haruslah merupakan pemegang akaun Tenaga Nasional Berhad (TNB) di Sememanjung Malaysia, belum menyertai program pepasangan fotovolta suria yang lain dan premis persendirian tidak dijadikan hotel, asrama atau kegiatan perdagangan dan perkhidmatan lain.
Peserta yang menyertai Program NEM ini berpeluang menikmati pengurangan bil elektrik sehingga 80% dengan tempoh pulangan modal bagi isi rumah biasa sekitar empat hingga enam tahun dengan sistem solar fotovolta boleh bertahan sehingga 25 tahun.
Namun sebelum mengambil keputusan untuk melakukan pemasangan solar, pengguna perlu mempertimbangkan aspek teknikal saiz sistem solar PV yang dipasang seperti permintaan elektrik yang diperlukan, saiz sistem solar fotovolta dan juga jenis sistem yang ingin dipasang.
Permohonan untuk menyertai program NEM boleh dibuat melalui sistem eNEM di laman sesawang Pihak Berkuasa Pembangunan Tenaga Lestari (SEDA) www.seda.gov.my dan permohonan untuk mendapatkan rebat di bawah insentif SolaRIS akan diperolehi daripada pihak TNB selepas pemasangan sistem solar PV diselesaikan.