Pelajar langgar polis dikenakan bon berkelakuan baik

Pelajar langgar polis dikenakan bon berkelakuan baik

Majistret Nurul Azuin Mohd Talhah turut memerintahkan lesen memandu pelajar berusia 17 tahun itu digantung selama lima tahun.

seremban court
Seorang pelajar Tingkatan Lima mengaku bersalah di Mahkamah Majistret Seremban atas tuduhan menunggang secara berbahaya dan melulu secara melawan arus hingga melanggar anggota polis trafik. (Gambar Facebook)
PETALING JAYA:
Seorang pelajar lelaki dikenakan bon berkelakuan baik selama setahun oleh Mahkamah Majistret Seremban selepas mengaku bersalah menunggang secara berbahaya dan melulu hingga mencederakan anggota polis trafik, Julai lalu.

Majistret Nurul Azuin Mohd Talhah turut memerintahkan lesen memandu pelajar berusia 17 tahun itu digantung selama lima tahun.

Pelajar Tingkatan Lima itu yang hadir ke mahkamah dengan berkerusi roda akibat mengalami kecederaan dalam kejadian tersebut membuat pengakuan bersalah pada 13 Sept lalu, lapor Sinar Harian.

Mengikut pertuduhan, tertuduh yang menunggang motosikal jenis Yamaha Y15ZR didakwa menunggang dengan melulu dan berbahaya kepada orang awam iaitu secara melawan arus sehingga menyebabkan kecederaan parah kepada anggota polis trafik.

Kesalahan itu dilakukan kira-kira pukul 2 pagi di KM36 arah Selatan Lebuhraya Kajang-Seremban (Lekas), pada 28 Julai lalu.

Berikutan itu, tertuduh melakukan satu kesalahan dan boleh dihukum di bawah Seksyen 42(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Jika sabit kesalahan, boleh dipenjara tidak lebih lima tahun dan denda tidak kurang RM5,000 dan maksimum RM15,000 serta hilang kelayakan memegang atau mendapatkan lesen memandu tidak kurang lima tahun dan jika sabit lesen memandu percubaan boleh dibatalkan.

Pihak pendakwaan diwakili Timbalan Pendakwa Raya M Pusppa manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

Pada 28 Julai lalu, media melaporkan seorang anggota polis trafik dan seorang remaja parah apabila motosikal yang ditunggang mereka bertembung.

Dalam kejadian kira-kira pukul 2 pagi itu, anggota Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Daera Seremban itu sedang bertugas dalam Ops Samseng Jalanan apabila dirempuh remaja berkenaan yang melawan arus.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.