
Rafizi berkata, rakyat berhak memberikan maklum balas mengenai prestasi kerajaan pimpinan Anwar Ibrahim yang sudah hampir dua tahun memerintah.
“Sebagai anggota Jemaah Menteri, saya tidak melihat maklum balas dengan negatif,” katanya kepada pemberita selepas pelancaran program TV realiti di Putrajaya.
Ahli Parlimen Pandan berkata, kerajaan perpaduan fokus pada mengimbangi program menangani kos sara hidup dan pertumbuhan ekonomi, dengan pembaharuan struktur dalam sektor hak asasi manusia dan perundangan.
“Kita perlu cari cara yang paling harmoni untuk melaksanakan pembaharuan ini,” katanya.
“Beberapa reformasi besar telah dimulakan, tetapi (untuk yang lain), akan ambil sedikit masa (untuk dilaksanakan).”
Semalam, Bersih memberikan kerajaan perpaduan gred ‘D’ bagi prestasinya dalam tempoh dua tahun sejak dibentuk, yang menurutnya mencerminkan kemajuan terhadnya dalam melaksanakan pembaharuan serta jurang antara retorik dan tindakan.
Kumpulan itu turut menamakan Ismail Sabri Yaakob sebagai perdana menteri terbaik antara lima perdana menteri sejak 2009, dengan Dr Mahathir Mohamad di tempat kedua diikuti Anwar, Muhyiddin Yassin dan Najib Razak.
Rafizi mengimbau kritikan penganalisis dan media terhadap kerajaan perpaduan dalam beberapa bulan pertama ia dibentuk pada Disember 2022.
Bagaimanapun, katanya, rakyat mula memberikan sedikit kepercayaan terhadap kerajaan Pakatan Harapan-Barisan Nasional selepas melihat ‘hasil awal’.
Memetik perdebatan mengenai pengasingan peranan peguam negara dengan pendakwa raya, Rafizi berkata, pelan reformasi telah dimulakan sejak setahun lepas, tetapi proses itu mesti ‘mengikut garis masa tertentu’.
Dalam laporannya, Bersih berkata, reformasi baru-baru ini berjaya dilaksanakan terutamanya menerusi usaha pentadbiran Ismail melalui memorandum persefahaman dengan PH, termasuk peruntukan pembangunan sama rata untuk pembangkang.