
Meluahkan perkara itu pada sidang Dewan Rakyat, Isnaraissah Munirah Majilis (Warisan-Kota Belud) berkata beliau merasakan ‘tiada guna bercakap di Parlimen’ kerana mendakwa permohonan dibuat tidak akan dilayan.
“Mohonlah beratus-ratus surat surat kepada kementerian tidak pun dilayan…saya sebagai wakil rakyat tidak tahu apa pun projek yang turun di kawasan, macam tiada harga diri sebagai wakil rakyat.
“Terpaling tahu projek turun di kawasan adalah kaki-kaki pelobi, penjual projek yang ampai (letak) dulu (komisyen) 10%, 20% 30%.
“Tapi yang kena maki, dikatakan tak pandai buat kerja, tidak bantu rakyat dan tiada guna itu YB (wakil rakyat),” kata Ahli Parlimen Kota Belud penggal kedua itu.
Mengulas lanjut, Isnaraissah berkata mungkin sudah menjadi nasibnya sebagai wakil rakyat ‘yang tidak pandai buat projek dan duit’ dilayan sedemikian rupa.
“Saya kadang-kadang tertanya-tanya, perlukah saya jadi kontraktor untuk saya tahu apa projek yang berlaku di kawasan saya, supaya tahu permohonan ini dapat dilaksanakan,” kesalnya.