
Laporan yang diterbitkan oleh Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara (PAC) memetik beliau merujuk kepada alternatif seperti penstrukturan semula serupa yang dilaksanakan oleh Permodalan Nasional Bhd (PNB) dalam kes Sime Darby Bhd.
“PNB gunakan alternatif di mana ia ada pelaburan dalam banyak syarikat,” katanya, menurut minit mesyuarat dengan PAC pada 7 Ogos lepas.
“Tetapi dana PNB lebih RM100 bilion, jadi ia boleh (laksanakannya). Manakala LTAT hanya ada RM10 bilion.”
Khaled merujuk kepada penstrukturan semula Sime Darby oleh PNB, yang membawa kepada pemilikan langsung anak syarikat Sime Darby dalam sektor perladangan, hartanah dan perindustrian oleh PNB.
Beliau juga merujuk kepada ‘model Khazanah’, di mana UEM Group dimiliki 100% oleh Khazanah Nasional Bhd dan mempunyai saham majoriti dalam syarikat lain.
“Saya hanya kata saya ‘perlu lebih masa’,” katanya.
“Lembaga (Pengarah) perlu yakinkan saya (pelan) penstrukturan semula yang mana terbaik dari segi jangka panjang (bagi) apa yang telah dibina.
‘Aset Boustead (bernilai) RM14, RM15 billion. Betul, hutang (Boustead) RM7 billion, tetapi asetnya lebih besar. Kenapa nak jual, itu soalan saya.”
Khaled mendakwa, ada pihak tertentu mendesak beliau membuat keputusan segera berhubung perkara itu, namun beliau berkata beliau terpaksa membentangkannya pada Jemaah Menteri kerana ia antara lainnya melibatkan penjualan syarikat seperti Boustead Plantation, yang tidak dipersetujuinya.
“Saya ingat kalau saya buat begitu, banyak dekat sini yang akan bantai saya dalam Parlimen,” katanya.
Terdahulu, PAC dilapor menyifatkan inisiatif menstruktur semula BHB, yang kini dihentikan, sebagai praktikal.
Menurutnya, inisiatif itu bukan sahaja dapat mengurangkan kebergantungan Lembaga Tabung Angkatan Tentera (LTAT), pada BHB, anak syarikat milik penuhnya, malah juga akan mempelbagaikan pelaburan LTAT dalam aset berkualiti.
Cadangan inisiatif itu turut ‘melalui pelbagai proses tapisan dan kelulusan pada setiap peringkat LTAT dan Kementerian Pertahanan’ ketika itu, serta melibatkan kajian yang menyeluruh oleh pihak LTAT.
“PAC berpandangan bahawa keputusan Kementerian Pertahanan pada masa ini untuk menghentikan pelan penstrukturan semula yang sudah mula dilaksanakan bawah pengurusan LTAT terdahulu membantutkan perjalanan transformasi LTAT yang perlu dilaksanakan dengan segera, secara menyeluruh dan tuntas,” katanya dalam kenyataan.