
Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Terengganu (JPBNT), memaklumkan 212 mangsa daripada 54 keluarga kini ditempatkan di lapan pusat pemindahan sementara (PPS), berbanding hanya 12 di Kemaman, pada 6 petang tadi.
Menurut sekretariat itu, Kemaman mencatatkan bilangan mangsa tertinggi iaitu 97 daripada 22 keluarga yang berlindung di tiga PPS iaitu di Balai Raya Meraga Beris, Dewan Orang Ramai Kampung Labohan, dan Sekolah Kebangsaan Kemasik.
“Ia diikuti Hulu Terengganu dengan 53 mangsa daripada 14 keluarga di tiga PPS iaitu di Balai Raya Kampung Kemat, Balai Raya Kampung Cheting, dan Balai Raya Kampung Bukit Kolam.
“Di Setiu, terdapat 49 mangsa daripada 14 keluarga yang ditempatkan di PPS Sekolah Menengah Kebangsaan Langkap manakala di Marang sebanyak 13 mangsa daripada empat keluarga ditempatkan di Dewan Sivik Wakaf Tapai,” katanya menurut Bernama.
Trend bilangan mangsa banjir menunjukkan peningkatan susulan keadaan cuaca yang masih hujan di beberapa kawasan di negeri tersebut.
Menurut portal publicinfobanjir.water.gov.my, paras air dua sungai di Terengganu melebihi tahap amaran dengan trend menaik iaitu Sungai Tumpat di Kampung Baru Kemasik, Kemaman, dan Sungai Tersat di Kampung Sekayu, Hulu Terengganu.