Polis kini boleh beku, rampas akaun bank keldai

Polis kini boleh beku, rampas akaun bank keldai

Undang-undang baharu itu membenarkan polis menyekat transaksi mencurigakan dan penipu daripada mengakses dana dicuri, kata timbalan menteri undang-undang dan reformasi institusi.

Timbalan Menteri Undang-undang dan Reformasi Institusi M Kula Segaran berkata pindaan itu akan membolehkan pegawai polis sekurang-kurangnya berpangkat sarjan merampas atau menyekat transaksi membabitkan dana disyaki ada kaitan aktiviti jenayah. (Gambar Bernama)
KUALA LUMPUR:
Polis kini boleh membeku dan merampas akaun keldai yang digunakan dalam penipuan bawah undang-undang baharu berkuat kuasa 30 Okt lalu, kata Timbalan Menteri Undang-undang dan Reformasi Institusi, M Kula Segaran.

Undang-undang baharu itu termasuk Seksyen 116D Kanun Prosedur Jenayah, yang membenarkan polis menyekat transaksi mencurigakan di mana-mana bank atau institusi kewangan dalam usaha menghalang penipu mengeluarkan wang dicuri daripada akaun keldai.

Kula berkata, polis boleh bertindak jika mereka mempunyai “syak wasangka munasabah” terhadap sesuatu jenayah dan percaya dana itu ada kaitan aktiviti jenayah atau memerlukan dana itu sebagai bukti.

“Pindaan ini membolehkan pegawai polis sekurang-kurangnya berpangkat sarjan merampas atau menyekat transaksi membabitkan dana disyaki ada kaitan kegiatan jenayah,” katanya di Dewan Rakyat.

“Ini membolehkan polis bukan saja merampas dana, tetapi juga menghalang penipu mengeluarkan wang daripada akaun keldai ini.”

Pindaan itu diluluskan Dewan Negara Julai lalu, Yang di-Pertuan Agong pada September dan berkuat kuasa 30 Okt lalu.

Kula berkata, Pusat Respons Scam Kebangsaan (NSRC) melaporkan 52,836 panggilan berkaitan penipuan antara Oktober 2022 dan September tahun ini, membabitkan kerugian berjumlah RM302.1 juta.

“Langkah-langkah ini akan meningkatkan keupayaan kita melindungi mangsa dan mengekang jenayah kewangan yang membawa kemudaratan besar,” katanya menjawab soalan Lim Lip Eng (PH-Kepong) mengenai undang-undang baharu untuk menyekat sementara transaksi disyaki dilakukan penipu.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.