
“Kedua-dua pemimpin juga sekali lagi menegaskan sokongan mereka terhadap penubuhan sebuah negara Palestin yang merdeka dan berdaulat, dengan Baitulmaqdis Timur sebagai ibu negara, berdasarkan sempadan sebelum 1967, serta keanggotaan penuh Palestin dalam Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB),” menurut kenyataan bersama yang dikeluarkan selepas pertemuan dua hala antara Presiden Brazil Luiz Inácio Lula da Silva dan Perdana Menteri Anwar Ibrahim di luar Sidang Kemuncak G20.
Anwar dan Lula turut menegaskan komitmen masing-masing untuk memerangi ketidaksetaraan, kelaparan dan kemiskinan serta berusaha meningkatkan taraf hidup rakyat kedua-dua negara.
Kedua-dua pemimpin turut menekankan kepentingan untuk memperkukuh kerjasama dua hala dalam pelbagai bidang termasuk kesihatan, industri halal, keterjaminan makanan dan pertanian, sains, teknologi dan inovasi, semikonduktor serta alam sekitar dan perubahan iklim.
Mereka turut mengalu-alukan pelancaran ‘Global Alliance against Hunger and Poverty’. Presiden Lula menzahirkan penghargaan terhadap keputusan Malaysia untuk menyertai pakatan itu sebagai anggota pengasas.
Kedua-dua pemimpin turut mengulangi komitmen mereka terhadap usaha bersama-sama dalam membasmi kelaparan di seluruh dunia menjelang akhir dekad ini, selaras dengan Agenda Pembangunan Mampan 2030.