Johor mula proses pemulihan akidah bekas ahli GISBH

Johor mula proses pemulihan akidah bekas ahli GISBH

Langkah itu dibuat dengan pendekatan secara sukarela dan penguatkuasaan undang-undang.

gisb
Exco Johor Mohd Fared Mohd Khalid berkata fokus utama inisiatif pemulihan itu adalah membawa kembali bekas ahli GISBH kepada ajaran sebenar berlandaskan Ahli Sunnah Wal Jamaah. (Gambar EPA)
PETALING JAYA:
Majlis Agama Islam Negeri Johor (MAINJ) sudah mula melaksanakan proses pemurnian dan pemulihan akidah bekas ahli Global Ikhwan Services and Business Holdings (GISBH).

Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Agama Islam negeri, Mohd Fared Mohd Khalid, berkata langkah itu dibuat dengan pendekatan secara sukarela dan penguatkuasaan undang-undang.

Beliau berkata, fokus utama inisiatif pemulihan itu adalah membawa kembali bekas ahli GISBH kepada ajaran sebenar berlandaskan Ahli Sunnah Wal Jamaah (ASWJ).

“Kita terbuka dan kita dalam waktu mengajak (sukarela), tetapi memang sudah ada permohonan dan sesi telah diatur.

“Keduanya, kita akan beri bimbingan dan MAINJ pun bersetuju akan bantu dari segi saraan bulanan. Ini kerana kita tahu selepas mereka dikenakan tindakan, perniagaan mereka tak dapat digerakkan.

“Oleh itu, MAINJ ambil tindakan dengan cara menjaga kebajikan mereka, isi keluarga mereka dan bantuan persekolahan,” katanya ketika ditemui selepas Majlis Pembayaran Zakat, Pemberian Bantuan Zakat dan Pertukaran Memorandum Persefahaman (MoU) MAINJ, menurut Harian Metro.

Sementara itu, Fared berkata, MAINJ memberi jaminan kepada ahli GISBH bahawa mereka akan dijaga selagi mana mengikuti dan mematuhi arahan kerajaan untuk mengikuti kelas pemulihan.

Katanya, pusat pemulihan di Jalan Gertak Merah, Iskandar Puteri, juga menjadi pusat pemulihan bagi mereka yang terjebak dengan isu lesbian, gay, biseksual dan transgender (LGBT).

Ditanya mengenai pembayaran zakat ahli GISBH di Johor, Fared berkata, MAINJ tidak pernah menerima bayaran zakat daripada pihak terbabit sejak awal mereka menjalankan perniagaan di negeri ini.

“Jika mengikut pengesahan daripada CEO MAINJ dan penasihat MAINJ, disahkan GISBH tidak pernah bayar zakat di Johor sepanjang masa mereka di negeri ini,” katanya.

Pada masa sama, Fared berkata, MAINJ akan mengeluarkan fatwa berkaitan GISBH dalam tempoh kira-kira sebulan selepas mendapat perkenan Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim dan Pemangku Sultan Johor Tunku Mahkota Ismail.

Katanya, ia susulan keputusan Jawatankuasa Muzakarah Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Agama Islam Malaysia (MKI) yang memutuskan ajaran, pegangan dan fahaman GISBH adalah sesat dan menyeleweng.

“Kertas kerja yang sama akan dibuat di Johor dan kerja semakan daripada Jabatan Mufti akan diteruskan. Kita akan bawa ke mesyuarat penuh MAINJ apabila kita bersetuju memutuskan untuk mengikuti fatwa berkenaan (MKI),” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.