Jangan biar kes GISBH berulang, MP gesa kerajaan

Jangan biar kes GISBH berulang, MP gesa kerajaan

Ahli Parlimen Bukit Bendera Syerleena Abdul Rashid gesa Akta Kanak-Kanak 2001 dipinda untuk hukum pengabaian institusi, penderaan sistemik.

rumah amal
Ahli Parlimen Syerleena Abdul Rashid berkata, kanak-kanak seperti yang diselamatkan dari rumah kebajikan berkaitan GISBH tidak wajar dieksploitasi atas nama agama. (Gambar PDRM)
PETALING JAYA:
Kerajaan digesa mengambil langkah tegas bagi memastikan kes Global Ikhwan Services and Business Holdings Sdn Bhd (GISBH) tidak berulang, susulan penyelamatan lebih 500 kanak-kanak dari beberapa rumah kebajikan tahun lepas.

Ahli Parlimen Bukit Bendera Syerleena Abdul Rashid menyifatkan kes itu amat membimbangkan kerana ia mendedahkan kepincangan dalam sistem perlindungan kanak-kanak negara serta keperluan mendesak untuk reformasi.

Beliau menggesa pihak berkuasa relevan, termasuk Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) serta Kementerian Dalam Negeri (KDN), supaya mengaudit semua rumah jagaan kanak-kanak swasta dan tidak berdaftar di seluruh negara.

Syerleena turut menyeru agar Akta Kanak-Kanak 2001 dipinda bagi mewujudkan peruntukan hukuman bagi pengabaian institusi dan penderaan sistemik, selain membangunkan pangkalan data berpusat untuk memantau setiap kanak-kanak di bawah jagaan institusi.

Menurut Ahli Parlimen DAP itu, pihak berkuasa perlu memperkasa syarat pelesenan dengan penguatkuasaan sebenar, bukan sekadar di atas kertas.

“Paling penting, kita perlu pastikan kanak-kanak yang diselamatkan mendapat penjagaan jangka panjang merangkumi terapi, pendidikan dan keselamatan, bukan sekadar pusat perlindungan sementara. Mereka bukan data statistik, tetapi kanak-kanak yang hidupnya telah terjejas selamanya.

“Kita sama sekali tidak boleh biar mana-mana pertubuhan, baik pertubuhan agama, swasta atau apa jua, memperalatkan kanak-kanak atas nama agama,” katanya kepada FMT.

Tahun lepas, 560 kanak-kanak diselamatkan dari rumah kebajikan berkaitan GISBH, dengan 536 daripadanya disatukan semula dengan keluarga, 11 di bawah jagaan penjaga, manakala 13 lagi belum dituntut setakat Januari lepas.

Menurut ketua polis negara ketika itu, Razarudin Husain, siasatan mendapati sekurang-kurangnya 13 mangsa kanak-kanak diliwat manakala sebahagian lagi diajar untuk melakukan serangan seksual terhadap yang lain.

Beberapa individu kemudiannya didakwa di mahkamah Selangor, Negeri Sembilan dan Pulau Pinang kerana mendera kanak-kanak secara fizikal dan seksual di rumah kebajikan yang mempunyai kaitan dengan GISBH.

Seorang guru di sebuah pusat pendidikan dan kebajikan milik GISBH dipenjara 10 tahun selepas didapati bersalah mendera empat kanak-kanak secara fizikal.

Minggu lepas, 22 pemimpin kanan GISBH masing-masing dihukum penjara 15 bulan, namun mahkamah memerintahkan hukuman itu berkuat kuasa dari tarikh tangkapan pada 2024, membolehkan mereka dibebaskan pada hari sama hukuman diputuskan.

Mereka mengaku bersalah atas tuduhan pilihan sebagai anggota pertubuhan haram selepas representasi mereka berhubung tuduhan awal sebagai ahli kumpulan jenayah terancang diterima.

AGC perlu telus

Syerleena berkata, pembebasan 22 pemimpin kanan GISBH itu hanya membangkitkan kemarahan rakyat Malaysia yang menyaksikan kegiatan pertubuhan itu dan kes penderaan kanak-kanak di rumah kebajikannya didedahkan.

Beliau menggesa Jabatan Peguam Negara agar telus menjelaskan mengapa 22 pemimpin kanan GISBH terbabit ditawarkan tuduhan alternatif, menegaskan rakyat Malaysia berhak mendapat kepastian.

“Lebih mustahak, rakyat Malaysia perlu tahu sama ada siasatan masih diteruskan, bukan hanya ke atas individu yang sudah disabitkan, tetapi juga rangkaian lebih besar yang membiarkan penganiayaan seumpama itu bermaharajalela.

“Kes sebegini jarang melibatkan beberapa kerat orang sahaja. Bagi mereka yang melihat sendiri trauma dialami kanak-kanak ini, perkembangan tersebut seakan-akan suatu pengadilan yang tidak sempurna,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.