
Pengasas badan pemikir pengangkutan MY Mobility Vision, Wan Agyl Wan Hassan, berkata pelaksanaan undang-undang CoR di Australia telah “meningkatkan akauntabiliti secara drastik dalam sektor logistik”.
“Pelaksanaan kerangka CoR seperti yang berjaya dilakukan di Australia boleh memastikan semua pihak dalam rantaian logistik berkongsi tanggungjawab terhadap keselamatan,” katanya kepada FMT.

Menurut Pengawal Selia Kenderaan Berat Kebangsaan Australia, CoR adalah sebahagian daripada undang-undang kebangsaan yang menetapkan pihak selain pemandu bertanggungjawab ke atas keselamatan kenderaan berat di jalan raya.
Laman sesawangnya menjelaskan bahawa semua yang terlibat dengan kenderaan berat, ‘daripada perniagaan yang menggaji pemandu atau memiliki kenderaan, sehingga perniagaan yang menghantar atau menerima barang, bertanggungjawab terhadap keselamatan kenderaan berat, pemandu, dan muatan sepanjang perjalanan’.
Penalti yang boleh dikenakan terhadap pihak yang melanggar tanggungjawab atau pematuhan utama untuk memastikan keselamatan aktiviti pengangkutan boleh didenda hingga AUD300,000 (RM867,728) dan penjara lima tahun bagi individu, serta sehingga AUD3 juta bagi syarikat.
Cadangan Wan Agyl itu susulan kemalangan di Kluang, Johor, pada 15 Nov, di mana seorang lelaki maut dan dua lagi cedera dalam kemalangan tiga kenderaan melibatkan lori kontena.
Pengguna media sosial juga terkejut dengan kemalangan tragis seorang wanita berusia 21 tahun di Pulau Pinang yang maut dalam perjalanan ke tempat kerja pada 13 Nov, apabila sebuah lori kontena terbalik dan menghimpit keretanya.
Wan Agyl berkata, dalam tempoh tiga bulan pertama 2024 sahaja, 287 orang maut dan 95 cedera parah dalam kemalangan melibatkan kenderaan berat. Angka ini merujuk kepada data yang dikemukakan oleh Timbalan Menteri Pengangkutan Hasbi Habibollah di Parlimen pada Jun lalu.
“Selain kehilangan nyawa yang tragis, beban kewangan juga sama mengejutkan, dengan kemalangan jalan raya mengakibatkan kerugian ekonomi sebanyak RM25 bilion tahun lalu,” katanya.
Beliau turut mengulangi seruan agar agensi pengangkutan berpusat diwujudkan semula selepas pembubaran Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD) pada 2018.
Wan Agyl berkata pembubaran SPAD telah ‘memisahkan’ tanggungjawab terhadap penguatkuasaan dan penggubalan dasar pengangkutan.
“Kurangnya kesepaduan ini menyebabkan peraturan dan pengawasan yang tidak konsisten, dengan banyak inisiatif untuk menguruskan operasi kenderaan berat menjadi berterabur dan kurang berkesan.
“Kita memerlukan satu agensi tunggal yang boleh memastikan akauntabiliti dan kepimpinan dalam isu ini. Tanpa itu, krisis di jalan raya Malaysia akan terus berlarutan,” tambahnya.